PARIT BUNTAR: Dakwaan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang berjumpa dengan Ketua Pembangkang Perak ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri hanya permainan poitik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, dakwaan oleh Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria itu juga tidak sahih.
Menurutnya, dakwaan ada ADUN kerajaan mahu melompat parti tidak mungkin dapat dilakukan kerana DUN Perak telah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang berkaitan larangan melompat parti.
“Dakwaan ada ADUN kerajaan mahu menarik sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani hanya permainan politik.
“Khabar angin itu bukanlah satu kenyataan yang sahih, ia hanya dari mulut pembangkang sahaja.
“Seperti yang telah kita ketahui negeri ini telah meluluskan Akta Lompat Parti, bermakna semua 59 ADUN terikat dengan akta tersebut.
“Mana-mana ADUN yang melompat secara individu akan gugur kedudukannya sebagai ADUN di tempat itu dan satu pilihan raya kecil perlu diadakan namun sekiranya satu blok parti yang membuat keputusan untuk beralih sokongannya, maka ia tidak termasuk dalam akta tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Jamuan Hari Raya Malaysia Madani PH Perak di Dewan Terbuka Taman Permai di sini hari ini.
Akhbar ini hari ini melaporkan mengenai dakwaan Razman ada beberapa ADUN kerajaan berjumpa dengan beliau ketika ketika khabar angin ada gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri.
Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak bagaimana pun enggan mendedahkan jumlah dan nama ADUN kerajaan itu.
Beliau mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Perak. – UTUSAN