KUALA LUMPUR : Setiap bakal jemaah dinasihatkan agar memainkan peranan dan tanggungjawab sendiri dalam memastikan agensi atau syarikat pengendali umrah dan haji yang dipilih mempunyai lesen berdaftar penuh di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd (MATTSB),Muhammad Mursyid Abu Hassan, perkara itu harus menjadi keutamaan bagi mengelak terjebak dengan sebarang isu penipuan pakej umrah dan haji.
“Setiap jemaah seharusnya bersikap lebih cakna dan bertanggungjawab untuk menyelidik latar belakang agensi pengendali umrah dan haji terbabit terutama lesen mereka, sama ada berdaftar penuh atau tidak dengan Motac.
“Kita tidak menolak bahawa wujud agensi yang tidak berlesen. Bila terjadinya isu penipuan atau wujud masalah tertentu, pantauan tidak dapat dibuat kerana syarikat tersebut tidak ada lesen.
“Saya tidak sebut kementerian tidak buat kerja tapi pelanggan perlu bersikap bertanggungjawab sebelum mendaftar dengan sesebuah agensi pengendali umrah atau haji itu. Penting untuk ambil tahu latar belakang syarikat tersebut agar tidak terjebak dengan perkara tidak diingini,”katanya.
Selain itu, kata Muhammad Mursyid, pihaknya juga menggesa mana-mana syarikat pengendali umrah dan haji juga perlu menjaga amanah dengan baik dan tidak mudah gelap mata.
“Setiap jemaah yang mendaftar, itu adalah satu amanah untuk mereka (pengendali umrah dan haji). Jadi kena jaga dengan baik. Tak ada orang boleh kaya dengan menipu jemaah.
“Saya tidak kata sahabat- sahabat saya menipu. Tetapi orang yang mengambil kesempatan itu ada. Jadi setiap jemaah juga harus hati-hati dan elak berputih mata di kemudian hari,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai isu kenaikan harga pakej umrah dan haji kini, menurut Muhammad Mursyid, keadaan tersebut merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Ini kerana, katanya, untuk tempoh dua tahun ketika pandemik Covid-19 berlaku, industri pelancongan terjejas teruk dan mengambil masa yang lama untuk pulih.
“Kenaikan harga pakej umrah dan haji memang berlaku sejak Covid melanda. Dua tahun pandemik berlaku, itu adalah tempoh mencabar buat industri pelancongan baik hotel mahupun syarikat penerbangan.
“Kita sebagai pihak ketiga yang menghubungkan antara jemaah dengan pengurusan penginapan dan penerbangan misalnya pun turut hadapi masalah yang sama. Ada kenaikan sebanyak RM100, RM200 mahupun RM1,000 tetapi semua itu kena urus dengan baik.
“Bila pembekal di Arab Saudi naikkan harga, kita pun tak dapat kawal. Bagaimanapun, Alhamdulillah ramai jemaah yang faham situasi,”katanya.
Sementara itu, berkongsi mengenai perancangan syarikatnya akan datang sempena Ulang Tahun Ke-10 MATTSB, Muhammad Mursyid berkata, selepas menceburi pelbagai perniagaan, beliau bercadang untuk meneroka bidang perhotelan melalui syarikat baharu, Orak Villa & Resort.
“Kami dah lalui 10 tahun pertama, 10 tahun kedua kami membuat perancangan lebih besar pada peringkat korporat termasuk nak wujudkan kumpulan syarikat Mursyid Alharamain. Kami mahu menjadi seperti sahabat Rasulullah, Usman bin Affan yang juga hartawan yang membantu memperkasa ekonomi umat Islam.
“MATTSB juga menawarkan pakej umrah percuma sempena Ulang Tahun Ke-10 kerana kami ingin berkongsi kegembiraan dan rezeki yang dikurniakan Allah sehingga dapat bertahan dan berkembang maju sehingga sekarang,”katanyq.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk menyertai peraduan pakej umrah percuma, boleh hubungi +60 11 1609 5176.