SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada isu bekalan makanan yang terjejas setakat ini disebabkan cuaca panas yang melanda negara.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sehingga kini semua bekalan makanan masih berada dalam kawalan.
“Di Kedah saya difahamkan tiada isu kekurangan bekalan gula atau air mineral, jadi saya harap perkara ini dapat kita kekalkan. Namun, dalam mendepani isu gula, KPDN akan bertindak lebih proaktif membuat perancangan awal dan libat urus yang lebih kerap supaya tidak berlaku krisis bekalan.
“Kita ambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan bekalan gula cukup dan sekiranya berlaku masalah kita akan segera panggil pihak syarikat pengeluar untuk beritahu apa isunya,” katanya selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah sempena majlis perasmian sebuah pasar raya cawangan baharu di Sungai Lalang, Bedong, di sini, hari ini.
Tambah Salahuddin, berdasarkan pemantauan setakat ini banyak isu membabitkan bekalan dan harga barangan keperluan sudah dapat diatasi.
Katanya, meskipun tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) telah tamat namun pihaknya mendapati harga barangan kawalan tersebut masih dijual dengan harga yang berpatutan selain ada juga barangan keperluan yang dijual dengan harga ‘Rahmah’.
“Barangan keperluan rakyat seperti ayam dijual dengan harga bawah RM9, cili merah antara RM10 hingga RM12 sekilogram (kg), sayur terutamanya tomato kekal pada harga bawah RM4 sekilogram.
“Selain itu isu bekalan telur dan minyak masak paket subsidi juga sudah tiada dan lebih mudah untuk diperolehi dalam pasaran,” ujarnya. –UTUSAN