Cuaca panas, sawah di Kerian mula kering - Utusan Malaysia

Cuaca panas, sawah di Kerian mula kering

KEADAAN petak sawah yang kering dan tanahnya kelihatan merekah akibat cuaca panas ketika tinjauan di Kampung Parit Haji Ismail 3 di Bagan Serai. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pesawah di Daerah Kerian menyatakan kebimbangan benih padi yang baru ditabur mungkin terjejas jika kekurangan air berikutan paras air di kolam Tasik Bukit Merah di sini menurun disebabkan cuaca panas.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, di sepanjang tali air dari Bagan Serai hingga Tebuk Panchor, Bukit Merah, kebanyakan benih anak padi baru sahaja tumbuh iaitu memasuki usia dua minggu dan ke atas.

Ia melibatkan kawasan tanaman seluas lebih 12,000 hektar iaitu dari Kompartmen D, E ,F, G dan H di kawasan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing.

Pesawah yang ditemui me­ngakui bimbang jika cuaca panas berterusan dan paras air kolam Tasik Bukit Merah, yang merupakan sumber bekalan air utama untuk kegunaan domestik dan pertanian, terus menurun dan ini akan menjejaskan bekalan air di sawah mereka.

Seorang pesawah, Mohd. Zahid Samad, 46, berkata, dia baru sahaja menabur benih padi dua minggu lalu dipetak sawahnya di Kampung Parit Haji Aman.

Menurutnya, cuaca panas ketika ini menyebabkannya bimbang benih padi akan terjejas pembesarannya.

“Jika paras air di Tasik Bukit Merah terus menurun seperti yang pernah berlaku pada Jun tahun lalu, sudah tentu ini akan menjejaskan anak padi,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan, difahamkan ketika ini sudah berlaku penyusutan air berbanding paras normal di tasik itu iaitu 8.69 meter.

Katanya, jika tidak berlaku hujan di kawasan tadahan kolam dan cuaca panas berte­rusan, sudah tentu paras air di kolam takungan itu menyusut.

“Setakat yang saya tahu paras air kolam Tasik Bukit Merah terus menyusut,” katanya.

Pesawah di Kampung Parit Air Itam 2, Mustafa Hasim, 53, berharap kejadian penyusutan air di kolam tadahan itu yang berlaku tahun lalu tidak berulang.

“Jika itu berlaku sudah tentu operasi pengairan ke sawah akan dihentikan dan ini akan memberi impak kepada semua tanaman padi dan menyebabkan pesawah menanggung kerugian,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian melakukan pemantauan keadaan paras air di kolam takungan tersebut.

Akhbar ini pernah menyiarkan laporan mengenai air Tasik Bukit Merah di sini mengalami surut yang paling teruk pernah berlaku akibat cuaca panas.

Keadaan itu membimbangkan kerana air tasik itu merupakan sumber kegunaan pertanian terutama sawah padi di Kerian, pengguna domestik dan perindustrian termasuk kegunaan perindustrian di Taiping. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya