Cuaca panas: River Cruise Sungai Perak terjejas - Utusan Malaysia

Cuaca panas: River Cruise Sungai Perak terjejas

SHAHRUL Hakim Mohamad Salleh menunggu kedatangan pelancong untuk perkhidmat bot menyusuri Sungai Perak di Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pengusaha bot pelancong River Cruise di Su­ngai Perak di sini terkesan akibat cuaca panas ketika ini apabila kekurangan pelancong.

Malah dalam sehari begitu sukar untuk mendapat satu trip membawa pelancong menaiki bot di Sungai Perak berbanding tiga hingga enam trip sehari sebelum ini.

Pengusaha bot, Muhammad Sahril Mustafa berkata, keadaan itu berlarutan kira-kira sebulan disebabkan cuaca panas yang menyebabkan pelancong tidak begitu selesa menaiki bot.

Katanya, selain cuaca panas, bahang air sungai yang panas menyebabkan ada pelancong tak jadi meneruskan penjelajahan di sungai.

“Sebelum ini sentiasa ada pelancong walaupun sedikit yang menggunakan perkhidmatan ini tapi sejak cuaca panas, boleh dikatakan tiada pelancong.

“Pada hari biasa, boleh dapat tiga hingga enam trip pelancong terutama dari luar negara tetapi sejak cuaca panas, jumlah pelancong menurun, terutama pelancong luar.

“Selain cuaca, keadaan ini juga disebabkan sekarang masih ramai yang menyambut hari raya. Jika berterusan ini sudah tentu menyukarkan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi pemandu bot, Shahrul Hakim Mohamad Salleh, 22, berkata, sebelum cuaca panas melanda, sejak pagi hingga petang, dia boleh mendapat hingga enam trip pelancong yang boleh memuatkan 25 orang, bergantung pada saiz bot.

“Saya rasa tak seronok kerana hanya duduk sahaja. Tiada pelancong walaupun gaji kami tetap dibayar penuh oleh majikan.

“Seperti hari ini, satu trip pun belum dapat, tak ada pelancong yang datang disebabkan cuaca terlalu panas,” katanya.

Seorang pelancong, Wan Ali Wan Kamalrruddin, 46, berkata, dia membatalkan hasratnya untuk menaiki bot menjelajah Sungai Perak bersama isterinya kerana tidak tahan dengan cuaca panas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN