Cuaca panas : Kanak-kanak elak aktiviti luar - Utusan Malaysia

Cuaca panas : Kanak-kanak elak aktiviti luar

Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) turun padang meninjau keadaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis malam tadi. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti luar rumah sekiranya tiada sebarang keperluan bagi menggelakkan serangan strok haba.

Berikutan itu, kanak-kanak dan golongan dewasa yang berisiko dengan serangan strok haba juga disaran agar dapat menjaga kesihatan dengan sebaiknya sepanjang musim cuaca panas ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, buat masa ini, kes membabitkan serangan strok haba di seluruh negara masih terkawal dan kementerian sentiasa memantau perkembangannya setiap hari.

“Memang kita ada dengar kes heat stroke beberapa hari lepas yang melibatkan kanak-kanak 11 tahun dan 19 bulan.

“Tapi setakat ini,ia masih terkawal dan kita hanya nasihatkan orang ramai untuk elak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas mengadakan lawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, malam tadi.

Hadir sama sewaktu lawatan berkenaan adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismuni Bohari.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang maut dipercayai akibat serangan strok haba dalam kejadian di Kampung Perupok, Bachok, Kelantan.

Satu lagi kes turut dilaporkan di Kampung Kota, Kelantan membabitkan seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang maut dipercayai akibat heat stroke.

Mengulas mengenai perkembangan Covid-19, Zaliha berkata, murid-murid yang akan memulakan sesi persekolahan digalakkan mengamalkan pemakaian pelitup muka bagi menggelakkan jangkitan virus berkenaan.

“Kita menggalakkan dan bukannya mewajibkan (pemakaian pelitup muka) supaya anak-anak di sekolah dapat menggelakkan jangkitan khususnya bagi mereka yang bergejala.

“Sekiranya bergejala, kita minta ibu bapa memantau dan kalau sekiranya tidak perlu ke sekolah setelah berjumpa doktor, maka tindakan itu haruslah diambil,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan di HTF, Zaliha berkata, pihaknya telah melihat potensi bagi melaksanakan lanjutan masa operasi di Klinik Kesihatan Kangar yang akan membantu perkhidmatan di hospital itu.

“Kita harapkan dengan lanjutan masa operasi ini, ia dapat mengurangkan beban kesesakan di HTF dan cepatkan beberapa proses lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya