JEMPOL: Seorang suri rumah sanggup berbelanja lebih sejak sebulan lalu bagi menyediakan air barli untuk diminum dirinya sekeluarga termasuk tiga orang anak yang masih kecil susulan cuaca panas sehingga mencecah tahap satu di daerah ini.
P. Thanaletcumy, 24, berkata, setiap hari dia akan menggunakan dua bungkusan kecil barli untuk dimasak.
Jelas beliau, minuman barli mempunyai khasiat menyejukkan badan selain mempunyai fiber, vitamin dan mineral penting untuk manfaat kepada badan.
“Saya akan pastikan anak-anak minum air barli setiap hari. Satu bungkusan kecil berharga RM1.20 dan setiap hari saya gunakan dua bungkus dengan perbelanjaan lebih RM70 sebulan.
“Sebagai ibu dan suami pula bekerja pemandu lori baja, saya memang agak risau dengan kesihatan keluarga apatah lagi dalam keadaan cuaca ketika ini.
“Oleh itu saya beri mereka air masak serta air barli untuk diminum malah setiap daripada kami mempunyai botol air masing-masing dibawa ke mana-mana,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Mahsan di sini semalam.
Kelmarin Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi kawasan Padang Terap, Kedah dan Jempol, Negeri Sembilan.
Dua kawasan itu mencatatkan gelombang haba tahap kuning setakat pukul 4.20 petang kelmarin. Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Ahmad Arshad, 42, berkata, cuaca panas itu kebiasaannya dirasai sekitar tengah hari sehingga pukul 4 petang.
“Cuma ada masa-masanya akan mencecah di tahap tertinggi sekitar 35 darjah Celsius, mujurlah boleh dikatakan hujan setiap petang, dan ia memang melegakan,” katanya. – UTUSAN