KUALA TERENGGANU: Usahawan tani di negeri ini yang berdepan masalah pemasaran produk pertanian berikutan cuaca panas ketika ini perlu tampil untuk mendapatkan bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya mempunyai banyak kaedah untuk membantu mereka memasar hasil tani seperti mengadakan aktiviti Pasar Tani, Jualan Agro Madani dan outlet peruncitan FAMA di seluruh negara.
Menurutnya, FAMA sentiasa membantu usahawan-usahawan tani yang memerlukan tanpa mengira musim banjir atau musim panas kerana bantuan yang disediakan terbuka sepanjang masa.
“Malah, apa sahaja masalah yang dibangkitkan usahawan tani kita akan cuba selesaikan, jumpa mereka untuk mengetahui punca, kita ada pelbagai solusi penyelesaian.
“Setakat ini, kita dah selesaikan banyak isu-isu yang dibangkitkan usahawan tani termasuk di media sosial antaranya Johor, Selangor Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rashid memberitahu, semua usahawan tani perlu mendaftar di bawah program Ladang Kontrak kerana pelbagai kemudahan dan manfaat boleh diperoleh seperti kemudahan kenderaan untuk menghantar hasil pertanian.
“Objektif program ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.
“Selain itu, FAMA mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing usahawan melalui latihan-latihan di bawah program tersebut,” katanya. – UTUSAN