Cuaca panas: Empangan Pedu masih mampu bekal air ke sawah padi - Utusan Malaysia

Cuaca panas: Empangan Pedu masih mampu bekal air ke sawah padi

PENYUSUTAN paras air di Empangan Muda tidak akan menjejaskan aktiviti penanaman padi di Kawasan MADA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kadar takungan air di Empangan Pedu, Kedah masih mampu menyalurkan bekalan ke kawasan tanaman padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meskipun cuaca panas berterusan ketika ini.

Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli berkata, kadar takungan air di empangan berkenaan masih berada pada tahap baik iaitu sekitar 73 peratus dan merupakan pembekal utama bagi pengairan tanaman padi di kawasan seliaan mereka.

Katanya, aktiviti penuaian padi musim lalu juga sudah selesai dilaksanakan dan penanaman baharu pada musim ini sudah mula dijalankan oleh pesawah terlibat.

“Dengan kadar takungan pada masa kini, MADA menjangkakan masih mampu membekalkan air untuk pengairan dan penanaman padi buat pesawah di bawah kawasan seliaan kami,” katanya selepas pelancaran Program Smart SSB Mini Sekinchan MADA-Bernas di Kampung Lat 1000, Simpang Empat di sini hari ini.

Program berkenaan dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai keresahan pesawah berhubung fenomena cuaca panas melampau dan dilihat akan turut memberi kesan terhadap tanaman padi.

Malah, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) turut mendedahkan 7,800 hektar kawasan tanaman padi di Kelantan di bawah selian agensi berkenaan turut terjejas akibat cuaca panas ‘melampau’ ketika ini.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, pihaknya optimis MADA akan dapat menangani masalah padi kering akibat kemarau berdasarkan situasi semasa takungan air di empangan terlibat.

“Sekiranya berlaku fenomena El Nino atau keadaan kering melampau, Insya-Allah kita boleh menangani isu berkenaan pengairan air ke tanaman padi ini,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, pihaknya juga belum membuat sebarang jangkaan kerugian dihadapi pesawah memandangkan aktiviti tanaman padi baharu sahaja memasuki musim baharu dan bermula sekitar dua peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya