Cuaca buruk sukarkan operasi bawa turun jenazah Awang Askandar

Cuaca buruk sukarkan operasi bawa turun jenazah Awang Askandar

AWANG Askandar Ampuan Yaacub disahkan maut selepas terjatuh ketika mendaki puncak Everest.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Proses membawa turun jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, disambung semula pagi ini selepas tertangguh semalam.

Difahamkan, operasi membawa turun jenazah tidak dapat dilakukan semalam akibat cuaca buruk, kesesakan di trek pendakian dan salji tebal di permukaan gunung.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, sepatutnya proses membawa turun dilakukan semalam, namun ia ditangguhkan dan pasukannya masih berada di kem empat (8,000 meter dari aras laut).

Beliau berkata, keadaan salji tebal 0.30 meter di atas permukaan pergunungan menyukarkan urusan mengusung jenazah memandangkan ia dilakukan secara manual menggunakan pengusung.

“Alhamdullilah, cuaca hari ini baik dan proses membawa turun dapat dimulakan dengan dibantu oleh enam malim gunung sehingga ke kem dua.

“Jika tiada masalah, proses menurunkan jenazah akan selesai selewat-lewatnya esok termasuk menerbangkan sekali jenazah menggunakan helikopter ke hospital di Kathmandu bagi proses seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media semalam melaporkan jenazah Awang Askandar sepatutnya dibawa turun dan dijangka tiba di kem dua pada lewat petang atau malam semalam.

Allahyarham Awang Askandar disahkan maut Jumaat lalu selepas berdepan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut iaitu sekitar 20 minit lagi untuk menawan puncak Everest.

Dalam pada itu, Azim berkata, semalam juga berlaku kesesakan trafik di trek laluan memandangkan aktiviti pendakian di puncak tertinggi itu akan berakhir pada 28 Mei ini.

“Malah, proses membawa turun jenazah juga perlu dilakukan secara teliti dan berhati-hati termasuk membalut jenazah dan mengikat pada pengusung.

“Saya akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa proses membawa turun jenazah kepada semua pihak termasuk Kementerian Luar dan Malawakil di Nepal,” katanya.

Sementara itu, Azim berkata, misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pendaki ME2023, Muhammad Hawari Hashim akan diteruskan hari ini sehingga 28 Mei ini.

“SAR memasuki hari kelima ini membabitkan enam malim gunung yang dipecahkan kepada dua kumpulan melibatkan pencarian di kem dua dan tiga,” katanya.

Muhammad Hawari yang berjaya menawan puncak Everest pada petang Khamis dilaporkan hilang selepas keluar secara bersendirian pada pagi Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Nepal telah mengumumkan dan mengeluarkan notis penutupan aktiviti mendaki ke puncak Everest bermula 28 Mei ini dan sekiranya jasad Muhammad Hawari tidak ditemui beberapa prosedur perlu dipatuhi seperti yang dikeluarkan pihak berkuasa negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya