Cerun runtuh: Tujuh hari pulihkan semula projek - Utusan Malaysia

Cerun runtuh: Tujuh hari pulihkan semula projek

AB. RAUF Yusoh (tiga dari kanan) melakukan tinjauan dan pertemuan dengan penduduk Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemaju projek pemba­ngunan komersial yang mengakibatkan rekahan cerun dan kerosakan rumah penduduk di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh di sini, diberi tempoh tujuh hari oleh kerajaan negeri untuk melakukan pulihkan semula berhubung permasalahan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, segala proses penambahbaikan berkaitan ke­selamatan serta teknikal melibatkan pergerakan tanah di kawasan terlibat akan dipantau secara harian oleh Maj­lis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Beliau berkata, pemaju juga diarah bertemu dengan penduduk yang terkesan dengan projek berkenaan bagi tuntutan ganti rugi serta baik pulih kediaman retak dan sebagainya.

“Saya juga menerima jaminan daripada pihak pemaju yang akan memastikan langkah-langkah keselamatan dan juga teknikal dipatuhi.

“MPHTJ memberikan tempoh seminggu untuk membuat ratifikasi dan kita akan pantau permasalahan ini secara harian. Saya memberitahu pemaju dan autoriti yang ada bahawa permasalahan ini mesti diberi perhatian supaya langkah-langkah keselamatan diambil daripada awal.

“Pihak Jawatankuasa Pemba­ngunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan memohon pihak pemaju dapat memberi perhatian tentang tuntutan ganti rugi sekiranya ada rumah yang terjejas daripada hasil projek ini,” katanya selepas melakukan tinjauan dan pertemuan dengan penduduk Taman Muzaffar Shah.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 300 penduduk Taman Muzaffar Shah buntu memikirkan keselamatan diri dan kediaman mereka selepas berlaku rekahan cerun akibat daripada projek pembangunan komersial.

Seorang penduduk, Zainon Baba, 52, berkata, dia tidak dapat tidur lena setiap kali hujan lebat kerana bimbang pagar zink yang dipasang pemaju di tepi cerun runtuh akibat pergerakan tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya