Cadangan naik gaji guru berkelayakan tinggi diteliti - Utusan Malaysia

Cadangan naik gaji guru berkelayakan tinggi diteliti

FADHLINA SIDEK menandatangani plak Malaysia Madani sempena Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan menaikkan gaji guru yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi sekali gus mendorong golongan pendidik meningkatkan kompetensi diri ke arah kegemilangan profesionalisme keguruan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pandangan berhubung cadangan itu diamati secara serius seiring dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju supaya upah dan gaji penjawat awam dinilai semula.

Menurut beliau, isu terbabit pastinya akan menjadi tumpuan awam sebaik sahaja ekonomi negara kembali pulih.

“Cadangan itu tidak lari daripada hasrat kami di peringkat KPM untuk melihat perkara sama dan ia dalam radar perbincangan dan dalam konteks untuk meningkatkan kualiti guru dari segi kelayakan, maknanya integriti, kualiti dari segi perkhidmatan guru.

“Kita tidak pernah menghalang guru daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah ruang dan peluang dibuka seluasnya untuk mereka.

“Selain itu, kita akan lihat dari segi integriti, keperluan malah dari sudut kualiti guru ini turut akan ditingkatkan dari semasa ke semasa dan ketika ini mereka sangat layak dan ‘well trained’ (terlatih),” katanya.

Beliau mengulas cadangan Setiausaha Kluster Pendidikan & Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad yang memohon kerajaan mengkaji semula gaji guru yang memiliki sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Anuar berkata, kerajaan harus memberikan insentif kepada guru yang mempunyai kelayakan lebih tinggi agar mereka dapat merasakan pentingnya perlu untuk sambung belajar bukan sahaja menambah ilmu, sebaliknya boleh meningkatkan gaji dalam bidang yang diceburi.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, di sini hari ini.

Pelbagai program dijalankan buat penduduk setempat sepajang karnival itu antaranya pemeriksaan kesihatan, kaunter perkhidmatan kerajaan serta jualan Agro Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya