KOTA BHARU: Bunga Angsana berwarna kekuningan seperti ‘emas’ yang berguguran sejak seminggu lalu di kawasan sekitar bandar ini menjadi tarikan apabila orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan berswafoto.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi sekitar bandar ini mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang berbuat demikian dan menyifatkan situasi itu seolah-olah berada di luar negara.
Seorang pengunjung, Azli Shafie, 47, berkata, ini merupakan kali pertama dia berpeluang merasai suasana tersebut bersama keluarga selepas secara kebetulan singgah untuk membeli barang di sebuah pasar raya.
“Pemandangannya cukup cantik sehingga membuatkan saya, isteri dan anak-anak teruja untuk mengambil gambar di kawasan ini.
“Bunga-bunga yang luruh ini saya lihat seperti ‘hujan emas’ di kawasan sekitar bandar Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu seorang pekerja kafe, Muhammad Syahmi Asyraf Mokhtar, 22, memberitahu, situasi itu turut memberi rezeki terpijak buat kafenya apabila menjadi tarikan kepada pengunjung untuk bergambar.
“Ramai pengunjung kafe turut mengambil peluang bergambar di luar kafe merasai suasana ‘musim luruh’ seperti berada di luar negara.
“Selepas selesai bergambar, pengunjung akan singgah di kafe dan musim luruh bunga Angsana ini turut membawa rezeki kepada kafe ini,” jelasnya. – UTUSAN