ARAU: Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menawan negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu disebalik keyakinan Perikanan Nasional (PN) mahu menyapu bersih kesemua kerusi di negeri tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersama dengan rakan-rakan lain sudah berada dalam keadaan bersedia termasuk memperbaiki kelemahan-kelemahan lalu dalam mendepani PRN.
Presiden UMNO itu juga percaya, kesilapan pengundi-pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diperbaiki kerana sudah ada penyelesalan dalam kalangan mereka apabila berlaku pertukaran kerajaan.
“Trend (sokongan) ini akan berubah dalam PRN ini di mana terdapat pengundi yang akan lebih memilih kepada kestabilan kerana keyakinan tinggi terhadap kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Perlis di Dewan Sivik hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman; timbalannya, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan seluruh barisan kepemimpinan UMNO negeri termasuk pemimpin-pemimpin PH.
Dianggarkan lebih 10,000 menghadiri sambutan rumah terbuka tersebut.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, UMNO dan BN dilihat sukar mengulangi pencapaian cemerlang di Melaka dan Johor sebelum ini, sebaliknya berdepan risiko kekalahan lebih teruk termasuk berpotensi tewas semua kerusi khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam PRN negeri akan datang.
Keadaan ketika UMNO menang besar dalam PRN di Johor dan Melaka sebelum ini sudah tidak sama dengan situasi semasa dengan ketika ini parti tersebut semakin hilang sokongan rakyat khususnya orang Melayu.
Pemerhati politik berpandangan, UMNO ketika menang di Melaka dan Johor sebelum ini, adalah di mana parti tersebut masih dalam keadaan tidak berpecah selain sentimen sokongan Melayu yang masih kuat.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, antara faktor kekalahan UMNO dan BN dalam PRU15 lalu disebabkan terlalu banyak fitnah bukan kerana kekuatan parti lawan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO Perlis akan diberi peranan sebagai negeri angkat dalam membantu dan mengerakkan jentera membantu di negeri-negeri PRN.
“Kita juga kena ubah minda dan cara bekerja dalam mendekati kumpulan sasaran ini. Kaedah konvensional harus ditukar ke arah pendigitalan.
“Terus jaga kebajikan rakyat, pengundi dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini. Insya-Allah mereka akan kembali bersama kita dan rakan-rakan lain dalam kerajaan Malaysia Madani ini,” katanya.-UTUSAN