Beri pendedahan, penghayatan konsep Madani buat mahasiswa - Utusan Malaysia

Beri pendedahan, penghayatan konsep Madani buat mahasiswa

MOHAMMAD Agus Yusoff bergambar bersama mahasiswa pada Himpunan Mahasiswa Madani di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Arau, Perlis malam tadi-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) mengambil pendekatan memberi pendedahan buat golongan mahasiswa berhubung konsep Madani dengan turun ke institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara ini.

Buat masa ini, terdapat 10 IPT telah didedahkan dengan konsep tersebut menerusi penganjuran Himpunan Mahasiswa Madani bagi memberi kefahaman dan penghayatan kepada golongan berkenaan.

Ketua Pengarah J-Kom, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, konsep Madani perlu difahami oleh golongan mahasiswa dengan sebaiknya memandangkan ia membawa satu nilai yang baik untuk saling sayang-menyayangi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Ini adalah tonggak Madani yang perlu ada pada mahasiswa bagi mereka menongkah cabaran pada masa hadapan.

“Jadi ia merupakan kesempatan yang perlu digunakan bagi menerangkan kepada golongan berkenaan bahawa inilah masanya untuk kita menghayati dan menyokong kuat konsep Malaysia Madani ini yang bukan sahaja untuk kestabilan kerajaan malahan bagi membentuk nilai-nilai yang baik,” katanya selepas Himpunan Mahasiswa Madani di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini malam tadi.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Pengerusi Yayasan Graduan, Datuk Mohd Faizal Daud.

Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata, pihaknya mendekati golongan mahasiswa di kampus bukannya bertujuan untuk berpolitik namun bagi menyampaikan kerangka pemerintahan kerajaan Perpaduan ini.

“Harapan kita adalah bagi membawa negara ke hadapan dengan konsep Malaysia Madani ini,” katanya.

Sementara itu, Zaliman berkata, himpunan berkenaan merupakan satu pendekatan yang baik memandangkan konsep Malaysia Madani masih baharu dan mahasiswa berpeluang mendengar terus tentang hasrat dan ciri-ciri yang ingin dibawa kerajaan.

Katanya, pihaknya juga berhasrat bagi menghasilkan mahasiswa yang lengkap dengan pengetahuan dan ilmu yang benar.

“Kita meraikan perbezaan pendapat namun biarlah beradab dan mempunyai ilmu pengetahuan mencukupi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya