PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pemimpin Melayu terdahulu yang kaya-raya menyumbang sebahagian kekayaan mereka sekiranya benar-benar mahu membantu dan memperjuangkan nasib orang Melayu.
Tegas Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin Melayu berkenaan tidak sewajarnya hanya memberikan kekayaan kepada sanak-saudara sendiri ketika mereka mempunyai kuasa suatu ketika dahulu.
“Jangan guna kuasa untuk kayakan sanak-saudara, kemudian dah kaya sanak-saudara, apabila hilang kuasa, ‘dok’ cakap nak selamatkan orang Melayu, hidup Melayu. Jika betul nak tolong dan selamatkan orang Melayu, saya nak beritahu pembesar yang Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri yang kaya-kaya ini, yang kamu ambil berpuluh-puluh bilion dulu, bagi setengah kepada orang Melayu.
“Tun (Dr.) Mahathir Mohamad, Tun Daim (Zainuddin) saya tak peduli, yang kamu ‘sakau’ tu bagi kepada orang Melayu. Berapa kekayaan? RM10 bilion, RM15 bilion? Betul nak tolong, bagilah kekayaan itu kepada orang Melayu sekiranya betul nak tolong.
“Saya harap ini sampai. Berapa yang kamu sakau itu, bagi kepada orang Melayu,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di UiTM Permatang Pauh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, jawatan yang diamanahkan di dalam kerajaan atau mana-mana pengurusan sepatutnya perlu dijaga dengan baik, bukan hanya untuk mengkayakan sanak-saudara sendiri.
Jelas beliau, segala jawatan dan dana itu tidak boleh diambil kesempatan dengan mencuri atau sebagainya memandangkan ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
“Dalam kerajaan dan dalam pengurusan, apa yang penting adalah jaga ini sebagai amanah, jaga tatakelola dengan baik. Jangan ambil kesempatan, sakau dan mencuri. Jaga dana dan amanah ini kerana kita bertanggungjawab kepada Allah SWT.
“Ini bukan akuantabiliti untuk orang dengar, bukan nak menang pilihan raya negeri dan pilihan raya umum. Tetapi kita bertanggungjawab kepada Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM150 juta berhubung ucapan beliau di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.
Terdahulu, media melaporkan, Dr. Mahathir memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.
Selain itu, Dr. Mahathir mendakwa kenyataan Anwar atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri membawa kesan lebih teruk terhadap imej beliau berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.
Semalam, Anwar dilaporkan meminta pasukan peguamnya menguruskan tuntutan saman berkenaan namun tidak dapat mengulas lanjut kerana saman tersebut baharu sahaja dikemukakan pasukan peguam Dr. Mahathir. – UTUSAN