MELAKA: Keenakan sambal tumis resipi istimewa dan harga yang murah mencuri tumpuan pelanggan apabila orang ramai sanggup beratur hampir sejam untuk membeli nasi lemak di Pantai Eye On, Kota Laksamana dekat sini.
Hampir setiap malam, antara 100 hingga 150 pelanggan sanggup beratur panjang bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi, semata-mata ingin menikmati hidangan dijual sepasang suami isteri itu.
Malah ada yang sanggup menunggu sejak pukul 9 malam sebelum kereta jenis Proton Exora milik Ramlan Abdul Rahman, 54, dan Rosyati Saleh, 48, tiba di lokasi untuk membuka meja menjual nasi lemak.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Rosyati berkata, faktor harga yang murah berbanding gerai atau restoran lain menyebabkan orang ramai memberikan sokongan terhadap perniagaannya.
“Lauk yang saya sediakan seperti telur dadar, sambal sotong, sambal udang, sambal ayam, rendang ayam, paru, sambal tempe kerang, sambal hati dan hempedal dijual serendah RM3 hingga RM5.
“Bagi nasi lemak biasa dengan sepotong telur dadar, sambal, ikan bilis, kacang dan timun, saya jual RM1.30 sebungkus. Saya berniaga hampir setiap malam dan bercuti jika hujan lebat atau kami tidak sihat,” katanya.
Tambah Rosyati, pada hujung minggu, pelanggannya mampu mencecah sehingga 300 orang dan mereka sanggup beratur serta menunggu lama.
Katanya, dia mula berniaga di Pantai Eye On sejak sembilan tahun lalu sebelum lokasi itu mula ditambak. – UTUSAN