KOTA KINABALU: Bekas pemain ragbi Sabah berhadapan hukuman mati mandatori atas pertuduhan membunuh adik kandungnya di Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, Arden Mattson Maturin,26, didakwa membunuh adik perempuannya yang berusia 25 tahun pada 4 Mei lalu antara pukul 3.30 hingga 4 petang di sebuah rumah di Jalan Signall Hill dekat sini.
Atas kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Ketika prosiding dilakukan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Walau bagaimanapun, majistret memaklumkan tiada pengakuan direkodkan pada hari ini kerana kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi. Prosiding hari ini hanya untuk sebutan kes sahaja.
Mahkamah menetapkan 14 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 4 Mei, polis memaklumkan mangsa dikenali sebagai Audrey Maturin ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan darah pada bahagian muka.
Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mendapatkan rawatan namun, pada 6 Mei lalu, mangsa disahkan meninggal dunia. –utusan