Bekas anggota polis jadi penjahat dalam Polis Evo 3 - Utusan Malaysia

Bekas anggota polis jadi penjahat dalam Polis Evo 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERPILIH mengemudi dan mengarahkan filem Polis Evo 3 ternyata mendatangkan tekanan buat pengarah muda, Syafiq Yusof yang tidak pernah menjangka sama sekali diberikan peluang berharga tersebut.

Apatah lagi, filem aksi blockbuster itu mencatatkan pencapaian memberangsangkan sehingga berjaya meraih kutipan RM18 juta bagi Polis Evo (2015) dan RM25 juta bagi Polis Evo 2 (2018).

Sudah tentu, katanya, terbit kerisauan sekiranya penonton akan membanding bezakan jalan cerita, pengarahan dan visual aksi yang dipaparkan dengan musim terdahulu.

“Saya sendiri adalah peminat filem Polis Evo 1 dan 2. Bila musim ketiga akan keluar, saya sudah jangka pihak Astro Shaw akan memanggil pengarah lain.

“Tiba-tiba saya dapat panggilan dan sangat terkejut serta terharu diberikan kepercayaan ini. Dalam masa sama, sudah pasti ada tekanan juga sebab perlu pastikan dapat buat yang terbaik,” katanya semasa sidang akhbar pelancaran filem tersebut, baru-baru ini.

Untuk rekod, filem Polis Evo diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, manakala Polis Evo 2 diarahkan oleh Joel Soh dan Andre Chiew.

Bagi memastikan naskhah yang akan ditayangkan di pawagam bermula 25 Mei depan mencapai standard, Syafiq berkata, dia mengambil pendekatan dengan menonton berkali-kali Polis Evo terdahulu.

“Saya nak selami cerita dunia Polis Evo ini dan ingin merakam babak paling terbaik.

“Kalau musim satu saya suka dengan elemen komedinya, musim kedua pula sarat dengan aksi dan drama yang berat. Jadi, musim ketiga ini saya gabungkan kedua-dua elemen tersebut,” jelasnya.

ELAK KONTROVERSI

Jika filem Polis Evo 2 pernah terpalit dengan kontroversi apabila naskhah tersebut dikatakan mengaitkan Islam dengan pengganas, Syafiq berkata, filem sentuhannya sama sekali tidak akan mencetuskan sebarang isu.

“Kalau musim pertama penjahatnya adalah penjual dadah, musim kedua pula memaparkan pengganas.

“Musim ketiga pula menceritakan penjahatnya adalah bekas anggota polis yang ingin balas dendam pada anggota polis lain. Skripnya sangat menarik.

“Saya rasa belum pernah filem di Malaysia mempunyai skrip seperti ini. Alhamdulillah, tiada sebarang potongan dan filem ini diklasifikasikan sebagai PG13,” katanya.

Mengulas sesi penggambaran yang dijalankan sejak hujung 2019, Syafiq berkata, antara perkara paling mencabar adalah melakukan aksi di lebuh raya ketika cuaca panas terik.

“Selalunya adegan kejar-mengejar kereta dibuat pada waktu malam, tetapi kali ini saya buat pada waktu siang di lebuh raya di Ijok.

“Sudah tentu cabarannya adalah berdepan cuaca panas selama berhari-hari dan berjam-jam. Aksi yang dilakukan pula perlu realistik dan bersesuaian dengan jalan cerita. Pelakon lagak ngeri kita semuanya okay semasa penggambaran,” katanya.

PEMILIHAN PELAKON

Polis Evo 3 turut dijayakan dengan penampilan khas pelakon terkenal seperti Michael Ang, Douglas Lim, Datuk Afdlin Shauki, Sharnaaz Ahmad dan Fauzi Nawawi.

Disoal pemilihan pelawak seperti Douglas, Syafiq berkata, kesemua barisan pelakon yang dipilih adalah melalui sesi ujibakat yang dijalankan terlebih dahulu.

“Banyak watak kita buat sesi ujibakat. Kita pilih Douglas sebab ingin watak anggota polis berbilang bangsa. Walaupun dia dikenali dengan watak komedi, tetapi ada babak serius yang dijayakan juga.

“Sharnaaz pula sangat bagus, Fauzi juga bagi 100 peratus komitmen sekali gus terserlah watak kepemimpinan dalam dirinya,” ulasnya.

Syafiq berkata, tidak keterlaluan untuk menyamakan Polis Evo 3 dengan filem komedi aksi dari Amerika Syarikat, Bad Boys.

Sebagai pengarah yang pernah menghasilkan filem pecah panggung, jelas Syafiq dia juga bersikap terbuka dan menerima segala kritikan serta maklum balas penonton.

Polis Evo 3 banyak pengaruh daripada filem Bad Boys yang sudah ditayangkan selama tiga musim.

“Bagi saya, semua orang bebas mengkritik kerana sebagai pembeli tiket mereka berhak bersuara. Tak dinafikan saya pun manusia biasa sudah tentu akan terasa hati dengan kritikan, cacian atau makian. Perkara itu normal dan realiti yang perlu dihadapi.

“Sebagai pengarah, kita cuba berdepan tekanan tersebut dan berusaha untuk menghasilkan filem yang lebih baik pada masa akan datang,” jelasnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya