Bekalan lembu menjelang Aidiladha mencukupi - Utusan Malaysia

Bekalan lembu menjelang Aidiladha mencukupi

RAZALI Saad (dua dari kanan) bersama Norazam Shah Ibrahim (kanan) meninjau keadaan lembu ternakan di ladang Kaisar Farm (M) Sdn Bhd, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Bekalan lembu menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi dijangka tidak berdepan masalah dan mencukupi berdasarkan persediaan awal dilakukan pihak berwajib.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri turut memberi jaminan akan mempermudahkan proses kelulusan permit sembelihan luar dan pergerakan lembu yang akan dibuka seawal dua minggu sebelum sambutan perayaan berkenaan.

Katanya, terdapat juga anggota JPV akan turun padang sewaktu Hari Raya Aidiladha nanti bagi melakukan lawatan ke pusat-pusat sembelihan untuk memeriksa daging korban agar tidak dijangkiti penyakit atau sebagainya.

“Insya-Allah bekalan lembu pada tahun ini mungkin tidak ada masalah sangat berbanding tahun sebelum ini kerana ketika itu negara masih dalam suasana pandemik dan berdepan masalah kemasukan lembu dari luar,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke ladang penternakan lembu Kaisar Farm, Chuping di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPV negeri, Dr. Adam Abdullah Kwan dan Pengarah Urusan Kumpulan Kaisar Farm (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim.

Mengulas mengenai lawatan berkenaan, Razali berkata, bekalan lembu yang terdapat di ladang itu juga dapat membantu menampung keperluan permintaan orang ramai di negeri ini pada musim perayaan tidak lama lagi.

“Walaupun ladang ternakan ini baharu sahaja beroperasi lapan bulan lalu, namun mereka telah membawa masuk bekalan lembu berjumlah 2,500 ekor dari Thailand sebagai persediaan Hari Raya Aidiladha nanti.

“Malah kerajaan negeri juga berharap agar ternakan lembu di sini bukan hanya sekadar transit untuk perayaan sahaja namun dapat dikembang menjadi ladang pengganda bagi menghasilkan baka lembu di Perlis,” katanya.

Sementara itu, Norazam berkata, pihaknya memasarkan lembu-lembu ternakan dari ladang berkenaan ke kawasan sekitar Lembah Klang termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Kata Norazam, pihaknya juga membangunkan beberapa infrastruktur termasuk mendirikan gudang makanan lembu sendiri dalam usaha bagi meminimakan kos operasi ternakan.

“Pada masa hadapan kita sememangnya berhasrat untuk melakukan intergrasi bagi menternak sendiri lembu di sini dengan menggunakan baka lembu betina,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya