KOTA BHARU: Bekalan gula yang ‘terputus’ sejak seminggu lalu dijangka pulih dalam tempoh dua hari ini selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah mengagihkan sebanyak 250,000 kilogram (kg) bahan mentah itu kepada pihaknya pasar raya, pemborong dan peruncit.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, agihan yang bermula hari ini itu sekali gus mampu menyelesaikan masalah kekurangan bahan mentah tersebut di pasaran.
“Kita menyarankan kepada pengguna dan peruncit supaya mendapatkan bekalan mengikut ketetapan yang dibenarkan dan tidak membuat pembelian panik. Hal ini kerana bekalan gula mencukupi di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Tumpat mendapati, kekurangan bekalan gula di pasaran menyebabkan ada dalam kalangan peniaga kedai runcit mengambil kesempatan menaikkan harga bahan mentah itu daripada RM3 sehingga RM4.
Seorang peniaga kedai makan, Rohani Zakaria, 53, memberitahu, dia terpaksa membeli bahan mentah itu walaupun terpaksa membayar pada harga RM4 sekilogram bagi memastikan premisnya dapat beroperasi.
“Sebelum ini harga gula RM3 tetapi hari ini saya beli gula sekilogram harganya RM4, itu pun hanya dapat lima kilogram sahaja. Semasa terputus bekalan, saya terpaksa menyediakan menggunakan gula kastor (gula halus) yang harganya RM3.20 untuk berat 500 gram bagi menggantikan penggunaan bahan mentah itu.
“Walau pun gula mahal sekarang ini, air minuman di kedai saya seperti teh o ais masih dijual RM1 segelas,” ujarnya.
Bagi peniaga kuih di Kampung Jubakar Pantai, Sarinah Mohd Zain, 56, dia membeli gula timbang di dalam guni yang beratnya 50 kg di Kota Bharu pada harga RM180 memandangkan semua kedai di daerah ini terputus bekalan.
“Saya tiada pilihan, terpaksa beli gula timbang yang bersamaan RM3.60 untuk satu kg walaupun agak amal.
“Gula yang dijual pasar raya harganya RM2.85 sekilogram tetapi sejak bekalan gula terputus kami boleh beli dua kg sahaja, kadang kala perlu beratur panjang untuk dapatkannya,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, beberapa daerah di negeri ini terputus bekalan gula sejak seminggu lalu sehingga menjejaskan peniaga dan menimbulkan keresahan orang ramai.-UTUSAN