KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini memberi jaminan bekalan gula mencukupi untuk keperluan di seluruh negara menjelang perayaan Aidiladha pada Jun depan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, bagi memastikan bekalan gula sentiasa ada di pasaran, KPDN telah mengarahkan dua syarikat pengeluar gula tempatan mengagihkan stok gula pasir kasar dan halus mengikut kuota yang ditetapkan kepada pemborong.
Menurutnya, Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) akan mengeluarkan bekalan gula seperti biasa iaitu masing-masing 24,000 dan 18,000 matrik tan sebulan.
“Selain itu, KPDN juga akan memantau rangkaian agihan pengeluaran bekalan di semua peringkat untuk memastikan stok sentiasa mencukupi di pasaran untuk memenuhi permintaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah syarikat pemborong gula, di sini, hari ini.
Tambah Fuziah, KPDN juga melanjutkan tempoh Ops Manis bagi memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi menjelang Aidiladha,
“Operasi tersebut sepatutnya tamat pada 29 Mei namun kita panjangkan tempohnya hingga 30 Jun depan agar semua pihak mematuhi peraturan jualan yang ditetapkan.
“Pelaksanaan Ops Manis adalah serampang dua mata bagi memulihkan gangguan bekalan gula di setiap lapisan rantaian pembekalan, memastikan tidak berlaku pembelian panik dan pematuhan undang-undang diamalkan oleh setiap peniaga.
“Ia juga memudahkan KPDN melakukan pemantauan ke atas keberadaan inventori stok penimbal gula (stockpile) di kilang atau gudang penyimpanan serta memastikan tiada isu penyeludupan gula ke negara jiran,” katanya.
Tambahnya, KPDN juga optimis keputusan kerajaan untuk membenarkan penjualan gula putih bertapis jernih sebagai alternatif baharu kepada lebih ramai pengguna selepas ini.
“Secara tidak langsung dapat menjamin kecukupan bekalan gula kasar dan gula halus di pasaran tempatan,” katanya. – UTUSAN