Bekalan ayam diramal terus susut - Utusan Malaysia

Bekalan ayam diramal terus susut

Bekalan ayam
MUZAMRI Shoib (tengah), Lim Leong Tuan (kiri) dan Jamaludin Abd. Ghani (kanan) bergambar bersama-sama wakil dan ahli persatuan penternak ayam dari Johor, Pahang dan Selangor selepas sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Negara bakal berdepan penyusutan bekalan ayam sekurang-kurangnya 600,000 ekor lagi dalam tempoh setahun jika kerajaan masih meminggirkan nasib penternak haiwan sumber makanan itu.

Malah, baru-baru ini sekurang-kurangnya tiga di Selangor dan lebih 20 penternak di Pahang didakwa terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan tekanan diterima daripada ‘orang tengah’ atau syarikat pembekal melibatkan pengurangan bekalan lebih sejuta ekor ayam setahun.

Selain itu, tekanan dihadapi penternak yang berdepan kenaikan harga dedak, anak ayam dan kos pengurusan serta kerenah orang tengah menyebabkan pengeluaran sumber protein asas tersebut berkurang daripada tujuh kepada tiga hingga empat kitaran ternakan setahun.

Pengerusi Persatuan Penternakan Ayam Negeri Selangor (PPANS), Muzamri Shoib berkata, keadaan tersebut ditekan lagi dengan keputusan kerajaan yang ‘memenangkan’ orang tengah apabila mengagihkan subsidi 80 sen bagi setiap kilogram ayam sebanyak 87.25 peratus kepada mereka berbanding 12.5 peratus kepada penternak.

Menurutnya, berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kos ternak RM6.40 sekilogram ayam, namun harga dijual diladang pula RM5.70.

“Sejak subsidi sedemikian diperkenalkan pada Februari tahun lalu, kerajaan mengagihkan subsidi 60 sen sekilogram secara 50-50 iaitu 30 sen kepada penternak dan 30 sen kepada syarikat. Begitu juga ketika jumlah sama diberikan sehingga Ogos tahun lalu apabila subsidi RM1.40 dan RM1.20 diberikan.

“Namun, apabila subsidi 80 sen diberikan sejak September tahun lalu, penternak hanya menerima 10 sen sekilogram sementara integrator (syarikat pembekal) pula mendapat 70 sen sekilogram sampai sekarang. Kami penternak tak tahu tentang perubahan itu, tiba-tiba sahaja berubah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama persatuan-persatuan penternak ayam, hari ini.

Bahkan, jelasnya lagi, perubahan tersebut tidak dibincangkan dalam kalangan penternak ayam seperti dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penternak Haiwan Johor Utara, Lim Leong Tuan, memaklumkan penternak menanggung lebih banyak risiko berbanding syarikat pembekal dalam usaha memastikan ayam terus punyai bekalan di pasaran.

“Penternak berdepan dengan masalah seperti ayam terkena jangkitan penyakit sehingga menyebabkan kematian, selain bencana banjir. Semua penternak yang tanggung. Malah, masalah ayam tak berkualiti, anak ayam kurang pun kami tanggung.

“Integrator seolah-olah mengambil untung atas angin. Kita pernah suarakan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Ketua Pengarah Jabatan Veterinar, tetapi semua ‘masuk angin keluar asap’,” ujarnya.

Justeru, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Melayu Pahang, Jamaludin Abd. Ghani menggesa kerajaan mengagihkan subsidi kepada penternak secara adil seperti mana diperoleh syarikat pembekal.

“Syarikat pengeluar boleh diibaratkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, tetapi penternak pula berlumba-lumba tutup reban. Penternak cuma untung bila ayam cantik sahaja,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya