PADANG BESAR: Bekalan air di Empangan Timah Tasoh di sini dijangka mampu bertahan kira-kira dua bulan sekiranya cuaca panas berlarutan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Mahidi Mahamood berkata, pada masa ini, paras air di empangan adalah 27.35 meter, menyusut kira-kira dua meter daripada paras normal iaitu sekitar 29.1 meter.
Katanya, bagaimanapun tidak ada arahan catuan air untuk kegunaan domestik dan industri dikeluarkan kerana ia belum melepasi paras kritikal buat masa ini.
“Bekalan air di Empangan Timah Tasoh mampu bertahan sehingga dua bulan dalam keadaan panas tanpa hujan sepanjang tempoh tersebut.
“Bagaimanapun, sekarang adalah musim monsun barat daya dan kelazimannya hujan dalam tempoh beberapa bulan ini dan biasanya tidak akan berlaku krisis air,” katanya ketika ditemui di Empangan Timah Tasoh di sini semalam.
Empangan Timah Tasoh berkeluasan 20 kilometer persegi itu mampu menakung air sebanyak 40 juta meter padu dan ia berfungsi sebagai sumber bekalan air domestik, pertanian dan kawalan banjir.
Difahamkan sekiranya paras air turun di bawah 27.1 meter, JPS akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghentikan bekalan dan mungkin melakukan pembenihan awan bagi memenuhkan semula takungan air.
Tambah Mahidi, jika hujan dalam kuantiti 100 milimiter selama satu hari, paras empangan air itu akan kembali meningkat ke paras normal iaitu 29.1 meter.
Katanya, pada 2 Mei lalu, pihak JPS telah melepaskan air dari empangan untuk kegunaan tanaman padi.
“Kebiasaan satu juta meter padu air digunakan bagi tujuan pengairan pertanian,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim menasihatkan penduduk agar berjimat cermat.
“Walaupun bekalan air di empangan itu belum paras kritikal, saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berjimat menggunakan sumber air.
“Buat masa ini keadaan bekalan air di empangan ini terkawal dan kita harap rakyat tidak panik serta harus mendapatkan maklumat tepat,” katanya. – UTUSAN