PADANG TERAP: UMNO Kedah menyifatkan ura-ura pembangkang untuk membawa akuan sumpah berkanun (SD) ke Parlimen adalah langkah ‘terbaik’ untuk membuktikan kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang kukuh.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan daripada Ahli Parlimennya.
“Itu yang terbaik. Maknanya jika ada usul bahawa seseorang individu nak dinamakan sebagai Perdana Menteri atau pun usul itu usul tidak percaya kepada Perdana Menteri. Kita sudah ada jumlah yang melebihi 112 dalam Parlimen, ada orang kata ada orang lain yang lebih layak jadi Perdana Menteri.
“(Sebab) itu saya ingat Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) sebut itu yang terbaik adalah anda buat (tunjuk) di Parlimen. Kami ada lebih daripada 112 undi Ahli Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini.
Sementara itu, menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, langkah mengemukakan SD di Parlimen itu hanya akan membuktikan kepercayaan yang diraih Perdana Menteri.
“Sebelum ini Datuk Seri Anwar buktikan bahawa beliau bawa undi percaya ke Parlimen. Sekarang ini kalau kata kamu (pembangkang) tak percaya, bawalah usul itu ke Parlimen,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah menggunakan slogan ‘Kalih Bagi Sama’ untuk merampas semula Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurut Mahdzir, slogan tersebut bertepatan dengan usaha kedua-dua gabungan itu untuk mengembalikan kerajaan negeri agar selari dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
“Apa-apa yang nak dibuat keputusan atas pengalaman saya yang pernah jadi Menteri Besar Kedah, ia kena selari di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bukan kata tak boleh (tak selari), boleh tapi yang terbaiknya adalah selari,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata, pembangunan negeri Kedah yang melibatkan kluster pertanian, pelancongan, pendidikan, perindustrian termasuk infrastruktur itu juga memerlukan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Kalau kerajaan negeri yang kita ada ini sama juga pentadbirannya dengan Persekutuan, jadi bendanya lebih mudah. Sebab di Kedah ini kita boleh bahagikan kepada pelbagai kluster.
“Ini bukan memikirkan soal politik semata-mata. Kita memikirkan soal masa depan dan pembangunan negeri ini. Macam mana nak bawa, ke mana nak dibawa negeri ini,” katanya.
Menyentuh pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRN antara BN dan PH di Kedah, kata Mahdzir, proses itu kini berada pada fasa ketiga sementara memuktamadkan formula yang bersesuaian.
“Ada sedikit sebanyak kekangan tapi insya-Allah boleh kita selesaikan. Ada formula daripada kedua-dua pihak untuk diselesaikan,” katanya. –UTUSAN