‘Baru sedar ada sarang tebuan pada sendi jengkaut’ - Utusan Malaysia

‘Baru sedar ada sarang tebuan pada sendi jengkaut’

BAPA saudara mangsa, Zahrin Osman (kanan) menunjukkan jengkaut dikendalikan Muhammad Sazwan Marzuki ketika disengat tebuan di Kampung Sidam Kanan, Kulim. – MingGuan/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kejadian disengat tebuan yang meragut nyawa pemilik kedai peralatan perkakasan turut menimpa salah seorang pekerjanya sehari sebelum kejadian di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, di sini.

Bagaimanapun, pekerja kepada Allahyarham Muhammad Sazwan Marzuki itu tidak me­ngalami sebarang masalah walaupun disengat tebuan di bahagian kaki, Rabu lalu.

Bapa mangsa, Marzuki A. Halim@Zakaria, 54, berkata, ketika itu mereka tidak tahu di mana tebuan itu membuat sarang meskipun sejak beberapa hari lalu adik kepada arwah, Muhammad Hamizan, 24, me­ngendalikan jentera jengkaut berkenaan.

“Namun pada petang kejadian semasa arwah hendak memasukkan pasir ke dalam lori menggunakan jengkaut itu, beberapa ekor tebuan menye­rangnya dan kami baru sedar ada sarang tebuan pada bahagian sendi jentera itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.35 petang, Khamis lalu, Muhammad Sazwan, 28, mengadu bahagian kepalanya sakit akibat disengat serangga terbabit sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Kulim.

Marzuki berkata, setelah di­sengat tebuan, anaknya berlari mendapatkan pertolo­ngan Muhammad Hamizan yang ketika itu berada di dalam kedai.

“Arwah kata dia rasa seperti hendak pitam dan pandangannya gelap lalu mengajak adik­nya ke sebuah klinik swasta berhampiran sebelum dikejarkan ke hospital. Muhammad Hamizan yang memangku arwah beri­tahu beberapa minit sebelum tiba di hospital, arwah tidak sedarkan diri.

“Kami sekeluarga terkejut apabila doktor memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia ketika menerima rawatan. Kami reda de­ngan ketentuan kerana Allah lebih sayangkan arwah,” katanya.

Tambah Marzuki, dia menye­rahkan perniagaan kedai peralatan perkakasan itu kepada arwah yang merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik dan arwah sudah mendirikan rumah tangga, namun belum dikurniakan anak.

“Arwah seorang anak yang rajin serta selalu ceria dengan adik-beradiknya. Dia suka membantu orang, jadi kami terasa juga dengan pemergiannya,” katanya yang memaklumkan arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Taman Mahsuri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya