KUALA LUMPUR: Pelakon, Farali Khan, mengaku selesa untuk tidak mencanang soal perkahwinan dan kehamilannya di media sosial.
Kata pelakon berusia 34 tahun itu memaklumkan dia lebih mahu masyarakat mengenalinya menerusi cerita pencapaian dan kerjaya sebagai penggiat seni berbanding cerita-cerita peribadi.
“Saya tak gemar kongsi cerita peribadi di media sosial. Kalau ada yang tahu (tentang perkahwinan dan kehamilan) dan mereka mendoakan, Alhamdulillah.
“Saya berahsia kerana ada juga yang tak suka (terlalu berkongsi di media sosial).
“Sebab itu, saya lebih selesa orang ikuti perkembangan kerjaya saya. Bagi yang tahu kisah peribadi saya dan mendoakan, Alhamdulillah. Bagi yang tidak, tak mengapa,” katanya.
Farali berkata demikian selepas Malam Gala Filem Tujuh Dua Belas di Starling Mall, baru-baru ini.
Pelakon berdarah kacukan Pakistan dan Cina yang kini hamil tujuh bulan itu telah mendedahkan dirinya sudah setengah tahun bergelar isteri kepada seorang peragawan bernama Qireen.
Mereka disatukan dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung pada 1 September 2022.