Baru bebas dari penjara, ditahan lagi proses heroin - Utusan Malaysia

Baru bebas dari penjara, ditahan lagi proses heroin

KHAW Kok Chin menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada seorang lelaki yang dipercayai memproses dadah jenis heroin dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini. - Pix: SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang penganggur yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara tahun lalu bagaikan tidak serik apabila dia sekali lagi ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan memproses dadah jenis heroin.

Suspek lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam operasi pukul 10.30 malam, Khamis lalu di depan sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan makmal haram memproses dadah jenis heroin itu di Seberang Jaya dekat sini.

Difahamkan, suspek lelaki yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu mempelajari cara-cara memproses heroin menerusi Youtube dan dia memperoleh bekalan dadah seperti heroin base dari negara jiran.

Suspek mula terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah sejak 2006 dan ditahan kali terakhir atas kesalahan memproses dadah pada 2017, namun dibebaskan dari penjara tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis menjalankan operasi bermula pukul 2 petang, Khamis hingga 9 pagi, Jumaat lalu dan melakukan tiga serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar Seberang Jaya.

”Menerusi serbuan pertama, kita menahan suspek lelaki yang disyaki terlibat dengan aktiviti memproses dadah jenis heroin di depan di rumah teres dua tingkat yang disewa kakaknya yang tinggal bersama abang ipar suspek yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Suspek dipercayai memasak dadah jenis heroin di rumah kakaknya dan kegiatan itu dipercayai diketahui mereka dan kakak serta abang ipar suspek kini saksi utama kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Kok Chin, susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu rumah teres yang disewa kakak suspek dan menjumpai peralatan serta bahan-bahan untuk memproses dadah heroin di situ.

”Siasatan seterusnya membawa kepada serbuan ketiga dan polis menjumpai sebuah kereta Perodua Alza milik suspek yang diparkir di kawasan terbuka kira-kira 600 meter dari rumah kakak suspek.

”Polis berjaya menemukan satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 7.4 kilogram bernilai RM61,420 di dalam kereta Perodua Alza ini ,” katanya.

Tambahnya, hasil risikan mendapati suspek kembali bergiat aktif memproses dadah heroin tahun ini untuk pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 37,000 orang jika terlepas ke pasaran.

”Hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah dan dia ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, polis turut menyita sebuah kereta Honda Accord serta wang tunai bernilai RM5,050 dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya