TANJUNG MALIM: Seorang lelaki yang dalam perjalanan menghantar anaknya ke tadika maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 122, Jalan Persekutuan Ipoh–Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Asri Shahrul Nizam, 26, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak perempuannya berusia enam tahun luka di tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, maklumat nahas membabitkan motosikal jenis Suzuki dan sebuah kereta Proton Persona itu diterima pada pukul 7.12 pagi.
Katanya, ketika kejadian, kereta dipandu guru lelaki berusia 44 tahun itu dalam perjalanan dari arah Ladang Ketoyong menuju ke Slim River.
“Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki terbabit mengubah haluan dari kiri ke kanan sebelum motosikal ditunggang dua beranak itu melanggar belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.
“Akibat pelanggaran tersebut, lelaki itu dan anaknya terjatuh di atas jalan dengan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
“Anak perempuan mangsa yang cedera di kaki dan tangan kiri segera dibawa ke Hospital Slim River bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati punca kemalangan ekoran kereta dipandu guru itu mengubah haluan dan menyebabkan motosikal mangsa melanggar bahagian belakang kanan kenderaan tersebut.
“Dalam kejadian ini pemandu kereta tidak cedera. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN