MELAKA: Seorang buruh kontrak berdepan hukuman penjara 30 tahun dan sebat selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Asyraf Majid, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang perempuan yang ketika kejadian berusia 18 tahun tanpa kerelaan mangsa, kira-kira pukul 10.30 malam di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah pada 5 September 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihaknya mencadangkan nilai RM20,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan anak guamnya kini menanggung isteri serta seorang anak berusia setahun, selain menghidap darah tinggi dan sawan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN