ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mengagihkan bantuan khas Aidilfitri kepada pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) serta pegawai masjid di seluruh Kedah bermula 17 Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bayaran yang sepatutnya dibuat pada 18 April lalu tertangguh kerana beberapa masalah termasuk penstrukturan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang kini dikenali MKK.
“Jumlah bantuan yang diterima pengerusi dan setiausaha MKK serta pegawai masjid yang meliputi imam, bilal dan siak itu juga akan ditambah RM100 lagi yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM300 setiap seorang.
“Naik RM100 sebab kita lambat bayar,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Pada 12 April lalu, kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada 3,924 penerima terdiri daripada pengerusi dan setiausaha MKK serta pegawai masjid di negeri ini.
Bantuan itu sepatutnya dibayar terus ke akaun penerima pada 18 April lalu yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM784,800 di mana seramai 772 pengerusi MKK, 766 setiausaha MKK dan 2,386 pegawai masjid meliputi imam, bilal dan siak akan menerima manfaat. –UTUSAN