BERPELUANG menyampaikan berita seawal usia 20 tahun adalah nikmat paling berharga pernah dikecapi oleh anak muda ini.
Dalam tempoh masih melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, Muhammad Syairul Islam Basmullah, 24, berpeluang bekerja secara separuh masa sebagai penyampai berita pada masa sama,.
Walaupun menyambung pendidikan dalam bidang kejuruteraan, minatnya terhadap bidang penyiaran sangat mendalam sehingga diberikan kepercayaan oleh pihak RTM membaca berita pagi, Kanta 744 serta mengemudi rancangan, Lensa IPT.
“Saya memang tak pernah merancang berada dalam bidang penyiaran sebab kalau ikutkan memang tak selari dengan kos yang saya belajar.
“Masa zaman belajar di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, saya pernah menghadiri program temu bual di radio Selangor FM. DJ radio tersebut menyarankan saya hadir ke ujibakat.
“Sejak itu, saya mula mencuba nasib dan hadir ke ujibakat penyampai berita di RTM pada 2019,” katanya.
SUSUN MASA
Ditanya bagaimana mengagihkan jadual belajar dan kerja, anak bongsu daripada enam beradik ini berkata, dia bersyukur kerana mempunyai jadual kerja fleksibel.
“Untungnya di RTM, saya diberikan ruang kebebasan untuk menentukan jadual baca berita supaya tidak bertembung dengan jadual kelas.
“Setakat ini, tiada masalah dan tidak mengganggu jadual pembelajaran saya di kampus,” katanya yang aktif menyertai pertandingan pidato semasa zaman diploma.
Memasang impian dan cita-cita menjadi seorang jurutera selepas bergraduasi kelak, Syairul berkata, dia juga tidak mahu minatnya berada di depan lensa kamera terhenti begitu sahaja.
Sekiranya mempunyai peluang untuk meneruskan karier sebagai penyampai berita secara sambilan, dia tetap ingin meneruskan minat tersebut.
“Sebenarnya RTM banyak membuka peluang dan pintu rezeki dengan tawaran-tawaran lain.
“Saya sendiri tetapkan sebulan sekali mesti ada job sebagai pengacara majlis di luar,” katanya.
JADI PENGACARA
Empat tahun muncul di kaca televisyen membuatkan Syairul sedikit sebanyak terkena tempias populariti sehingga menerima undangan menjadi pengacara majlis daripada pelbagai pihak.
Kongsinya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menjadi pengacara majlis dalam sebuah majlis makan malam yang dihadiri oleh isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.
“Bila saya muat naik gambar sesi raptai di media sosial, ramai komen dan terkejut kerana saya menerima tugasan ini.
“Ini kerana, kerabat Johor dikenali dengan protokol yang paling ketat. Namun, alhamdulillah dapat maklum balas positif daripada penganjur dan pihak istana,” katanya.
TAK LUPA DIRI
Mendapat biasiswa sepanjang tempoh pengajian serta sudah menikmati gaji pada setiap bulan ternyata tidak membuatkan Syairul lupa diri.
Ketika situasi ekonomi tidak menentu, kongsinya, dia tidak pernah sesekali boros berbelanja mahupun mengikut kehendak diri.
“Kita perlu bijak mengatur ekonomi dan kewangan diri. Saya memang buat simpanan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Setiap bulan akan ditolak secara automatik, kalau terkurang boleh ditambah kemudian. Kalau terlebih pula, ia dapat digunakan sekiranya saya mempunyai anak-anak yang akan sambung belajar nanti.
“Ibu bapa saya juga sudah didik dari kecil supaya mengutamakan keperluan dan sentiasa beringat untuk membuat tabungan sendiri sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.