PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro dilantik sebagai Pengerusi Halal Development Corporation (HDC).
Pelantikan itu dikongsikan HDC dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Dalam hantaran itu, Lembaga Pengarah, Pengurusan dan Warga Kerja HDC Berhad menzahirkan ucapan tahniah kepada Khairul Azwan atas pelantikan itu.
“Semoga dengan kepakaran, pengetahuan dan pengalaman Khairul Azwan, tadbir urus HDC dapat diperkukuh dan kontribusi dapat diberikan pada peningkatan daya saing industri halal di Malaysia hingga ke tahap yang lebih tinggi,” tulis hantaran itu.
Khairul Azwan sebelum ini bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Pasir Salak, namun kalah kepada calon Perikatan Nasional.
Pada pemilihan UMNO lepas, Azwan Bro sah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak selepas mengatasi Dr. Faizal Tajuddin yang juga anak kepada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dengan majoriti 46 undi. – UTUSAN