Azmin enggan bertanding PRN - Utusan Malaysia

Azmin enggan bertanding PRN

PRN
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tidak mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor seperti yang pernah diputuskan pada November tahun lalu.

Keputusan yang diambil tersebut sekaligus menutup spekulasi jangkaan penampilan beliau untuk bertanding di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang serta Morib termasuklah dakwaan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan diangkat sebagai Menteri Besar Selangor kali kedua.

Bekas Ahli Parlimen Gombak itu berkata, beliau sebaliknya mencadangkan supaya calon yang lebih muda menggantikan tempatnya apabila mendakwa sudah pun menjadi wakil rakyat selama tujuh penggal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Saya pernah menyatakan keinginan untuk berehat. Saya sudah berkhidmat selama tujuh penggal, satu penggal di Hulu Kelang, tiga penggal di Bukit Antarabangsa dan Gombak.

“Oleh itu, saya rasa kita sepatutnya memberi peluang kepada generasi muda untuk menjadi pengganti. Kita mempunyai calon berpotensi yang sangat komited kepada perjuangan. Kita mahu sebuah Malaysia yang lebih kuat,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Jamuan Hari Raya Aidilfitri Perikatan Nasional, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meluahkan keyakinan terhadap pengundi di Selangor akan membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang berdasarkan kegagalan Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh enam bulan lalu.

Menurutnya, rakyat Selangor cukup bijak dan masyarakat kelas pertengahannya menyedari situasi yang berlaku dan berharap dapat memberikan peluang kepada PN untuk menjadi kerajaan di negeri ini bagi menguruskan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Adalah jelas bahawa mereka membuat pelbagai janji semasa kempen pilihan raya, tetapi tidak ada satu pun daripada janji-janji itu dipenuhi. Walaupun ‘saya menang hari ini, harga minyak akan turun’, tiada perubahan yang berlaku dalam harga minyak.

“Kos sara hidup masih ketara tinggi. Ap langkah penyelesaiannya? Justeru, saya percaya rakyat ingin melihat penyelesaian yang jelas dan efektif untuk mengendalikan situasi semasa, bukan yang dipenuhi oleh rasa dendam. Rakyat sudah letih dengan politik dan mahu melangkah kedepan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya