Awang Sariyan Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 

Awang Sariyan Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 

TUANKU Zara Salim menyampaikan hadiah wang tunai, selempang tokoh serta sijil iringan kepada Awang Sariyan yang dipilih sebagai Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023 pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru UPSI di  Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di Tanjung Malim, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di sini hari ini.

Baginda yang juga Canselor UPSI berkenan mencemar duli lafaz pelancaran serta menganugerahkan kurniaan Anugerah Guru kepada 23 orang tokoh penerima hadiah tersebut di hadapan lebih 5,000 pengunjung yang terdiri daripada warga universiti, para guru, kakitangan kerajaan, para alumni serta masyarakat sekitar daerah Muallim.

Pada majlis itu, cendekiawan, perancang bahasa, tamadun Alam Melayu dan persuratan, Senator Datuk Seri Profesor. Dr. Awang Sariyan mengungguli Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023.

Memegang jawatan penting sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor itu pernah menyandang Kursi Za’ba di UPSI serta penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing serta menjadi Profesor tamu di beberapa universiti terkemuka antarabangsa.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menerbitkan 70 buah buku ilmiah, buku umum, buku teks serta buku himpunan puisi dan menerbitkan lebih daripada 500 makalah dalam jurnal, majalah dan surat khabar serta lebih 200 kertas kerja dan syarahan disampaikan seluruh pelosok dunia.

Awang menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000, selempang tokoh serta sijil iringan.

Selain Tokoh Guru Suluh Budiman, Tuanku Zara turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Guru Alumni kepada sembilan penerima antaranya bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahari;  Sasterawan Negara 2022, Datuk Rahman Shaari; Penerima Hadiah Sastera Malaysia 2014, Profesor Dr. Abdul Halim Ali dan Komposer terkenal Rozman Shafie (LY).

Seterusnya, 15 guru turut terpilih menerima Anugerah Guru Cemerlang antaranya Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan, Abd Rahman Ali Bashah;  Pemenang Malaysia Teacher Prize 2022, Anuthra Sirisena; Tokoh Sambutan Maulidur Rasul Negeri Melaka 2021, Chan Chin Ho;  penerima Anugerah Global Teacher 2021, Komathy  Veerasingha;  bekas Menteri Pelajaran Kanan Brunei, Datuk Paduka Muhammad Taha Abdul Rauf; bekas Menteri Negara Kanan Singapura, Datuk Seri Sidek Saniff dan ramai lagi.

Keseluruhan penerima Anugerah Tokoh Guru Alumni dan Anugerah Guru Cemerlang membawa pulang duit syiling ‘Peringatan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI’ dan sijil iringan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah  dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff mengiringi keberangkatan baginda Tuanku Canselor.

Md. Amin dalam ucapannya mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Permaisuri ke Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru yang dianjurkan pusat pengajian pendidikan terulung tersebut.

Menurutnya, majlis yang dianjurkan setiap tahun tersebut sebagai salah satu inisiatif untuk menghargai jasa pengorbanan seorang insan bergelar guru yang telah menabur bakti mendidik bangsa tanpa jemu.

“Jika ditelusuri sejarah tanah Muallim, di sini lahirnya insan termulia yang bergelar guru.  UPSI telah melahirkan legasi pendidikan di seluruh negara, bermula dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) sehingga terukirnya nama-nama tokoh guru yang hebat Pendeta Za’ba, Aminuddin Baki, Tun Rahman Abbas, Ibrahim Haji Yaakub, Tun Abdul Ghafar Baba dan ramai lagi tokoh pendidik yang memberi inspirasi kepada kita dalam menabur bakti sebagai warga pendidik,” jelasnya.

Majlis sambutan turut diwarnai dengan bacaan ikrar guru, persembahan koir dan tarian tradisional kontemporari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, serta jamuan santapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya