IPOH: Atlet Olimpik Khas, Nur Ameer Muqsiq teruja apabila mewakili negara dalam Sukan Olimpik Khas di Jerman, Julai depan.
Nur Ameer, 19, bertekad untuk mengutip sekurang-kurangnya pingat gangsa apabila bertanding dalam acara 100 meter, lompat jauh dan 4 x 100m dalam kejohanan yang bermula 12-25 Julai itu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh, Ipoh itu berkata, dia sudah bersedia bertanding dalam sukan untuk orang-orang istimewa itu.
“Saya akan memberi persembahan terbaik saya dalam ketiga-tiga acara yang disertai itu agar dapat memungut sekurang-kurangnya pingat perak,” katanya ketika ditemui semasa majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Akademi Hoki AHF Raja Ashman Shah di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah penaung Akademi, Datuk Zainol Padzi Paharuddin serta bekas pemain hoki negara, Datuk R. Yogeswaran dan Datuk Poon Fook Loke .
Menurut atlet yang mengalami masalah disleksia iaitu merangkumi kelemahan kemahiran membaca, dia sudah membuat persediaan sejak September lalu.
Katanya, dia diasuh oleh jurulatih, S. Manogaran dan akan disertai oleh tiga lagi atlet ke kejohanan itu nanti.
Manogaran pula yakin Nur Ameer mampu mengutip pingat emas dalam acara 100m itu nanti.
“Saya menaruh harapan Nur Ameer akan mengutip pingat emas di Jerman nanti,” katanya. – UTUSAN