KUALA LUMPUR: Penyanyi baru, Ashmirul, 22, mendedahkan pernah berhadapan pengalaman buruk apabila lagu hasil ciptaannya dirompak oleh syarikat label terdahulu.
Ashmirul atau nama sebenarnya Amirul Ashraff Shafaruddin mendakwa sebagai penyanyi baru, dia pernah berhadapan dengan ragam syarikat label tidak memberikan kredit terhadap hasil karya kreatif yang dihasilkannya.
“Sebelum ini, saya pernah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat label. Waktu itu saya baru berusia 18 tahun dan hanya mengiyakan banyak perkara. Ketika di bawah naungan syarikat itu, saya ada menghasilkan sebuah lagu yang dicipta sepenuhnya iaitu lagu dan lirik daripada saya.
“Namun ketika lagu itu terbit, hanya lagu sahaja yang dikreditkan kepada saya sementara lirik tiba-tiba dikreditkan atas nama pemilik syarikat label itu.
“Kami sudah merancang untuk menghasilkan sebuah video muzik untuk lagu itu. Namun syarikat itu memberi pilihan sama ada untuk menghasilkan video lirik sahaja atau saya diminta keluar daripada syarikat itu.
“Saya pilih untuk mengundurkan diri daripada syarikat itu. Apapun kami sudah berdamai dan kini masih berhubung baik,” dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran lagu Tunggu baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang muzik itu juga pernah diberikan janji palsu oleh satu lagi syarikat label yang ingin menerbitkan muziknya.
“Selain itu, saya pernah mengusahakan satu projek istimewa dengan satu syarikat label. Saya bertanggungjawab untuk menghasilkan dan merakam lagu.
“Mereka meminta saya untuk mengosongkan jadual selama sebulan. Bila tarikh itu tiba, mereka berdiam diri dan menghilang tanpa sebarang berita,”tambahnya.
Setelah berusaha selama enam tahun, Ashmirul bertemu dengan syarikat rakaman yang sepadan dengan dirinya iaitu Hot Sound Record dan baru sahaja melancarkan single pertamanya, Tunggu.
“Tunggu menceritakan tentang seorang lelaki yang sudah berusaha yang terbaik bagi mendapatkan hati seorang wanita. Sayangnya, wanita itu hanya menganggapnya sebagai teman sahaja.
“Ilham lagu ini datang selepas saya mendengar cerita kawan-kawan yang memang menghadapi depresi setelah putus cinta. Bila berhadapan dengan mereka yang mempunyai depresi, kita tidak boleh menghukum sebaliknya cuba meletakkan diri di dalam kasut mereka,” tambahnya.
Menurut Ashmirul lagi, jika single Tunggu mendapat sambutan, dia dalam perancangan untuk terus membuat lagu yang mempunyai kesinambungan daripada muzik video sebelumnya.