Aplikasi Smart IQ-One menang Anugerah Guru Inovatif

Aplikasi Smart IQ-One menang Anugerah Guru Inovatif

ROZITA Abdullah (tiga dari kanan), Mohammad Kamal Afzan Ramli (kiri) dan Ahmad Zaki Osman (dua dari kiri) menerima Anugerah Guru Inovatif Kumpulan (prasekolah hingga menengah) disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Majlis Makan Malam Anugerah Hari Guru 2023 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kanan). – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perjuangan tiga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Terendam, Sik, Kedah membantu murid-murid yang mempunyai masalah di tahap Iqra satu melalui pembangunan aplikasi Smart IQ-One mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan (KPM).

Aplikasi hasil kerjasama Rozita Abdullah, Ahmad Zaki Osman dan Mohammad Kamal Afzan Ramli itu merangkul Anugerah Guru Inovatif Kumpulan (prasekolah hingga menengah) pada Anugerah Hari Guru 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rozita berkata, Smart IQ-One adalah inovasi pendigitalan daripada hasil kajian tindakan bagi membolehkan murid membuat perkaitan antara bentuk huruf hijaiyah dan bunyinya, sekali gus membantu mereka menghafal.

Katanya, konsep aplikasi yang lebih interaktif dan berse­suaian dengan senario semasa dilihat berjaya membantu murid mengingat dengan mengaitkan antara huruf dan bunyi, seterusnya membolehkan mereka menyebut bunyi huruf hijaiyah berbaris fathah.

“Dalam aplikasi ini ada huruf, gambar dan suara untuk membantu murid mengingat bunyi huruf hijaiyah berbaris fathah. Sesuai dengan pendidikan digital sekarang ini yang mana kita semua menggunakan telefon pintar, maklumat berada di hujung jari.

“Jika buku, para murid sukar bawa ke mana-mana tetapi telefon pintar ini sentiasa bersama mereka. Aplikasi ini sa­ngat membantu murid meskipun tia­da guru, hanya dipantau oleh ibu bapa di rumah atau melalui pembelajaran kendiri,” katanya ketika ditemui.

Sebanyak empat kategori di­sampaikan pada majlis berkenaan iaitu Anugerah Khas Pendidikan (enam anugerah), Anugerah Guru Inovatif (enam anugerah), Anugerah Guru Berwibawa (tujuh anugerah) dan Anugerah Gu­ru Ikon (sembilan anugerah).

Dalam pada itu, Ahmad Zaki yang bertindak sebagai pemba­ngun aplikasi berkata, buat ma­sa ini Smart IQ-One hanya diedarkan secara dalaman kepada murid SK Paya Terendam melalui perkongsian fail Android Package Kit (APK).

Bagaimanapun pihaknya mem­punyai perancangan untuk memuat naik aplikasi itu ke dalam platform Google Play Store bagi membolehkan ia diakses secara global.

“Sebelum ia dimuatkan ke dalam Google Play Store, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan dahulu contohnya urusan hak cipta dan lain-lain. Buat masa ini Smart IQ-One hanya boleh dipasang secara manual melalui APK.

“Kami mengambil masa kira-kira sebulan untuk membangunkannya dan kini aplikasi itu sudah dikemas kini kepada versi keenam sejak hampir setahun ia mula diedarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya