Anzalna rindu berlakon semula - Utusan Malaysia

Anzalna rindu berlakon semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON, Anzalna Nasir, 36, menyatakan kerinduan mendalam untuk berlakon semula selepas dirinya dihujani dengan banyak tawaran daripada syarikat produksi.

Namun, atas prinsip memberi fokus kepada keluarga terlebih dahulu, ibu kepada dua cahaya mata ini terpaksa menangguhkan seketika hasrat tersebut. 

Katanya, anak keduanya, Mohamad Emirhan baru berusia 11 bulan dan memerlukan perhatian sepenuhnya. 

“Rezeki berlakon itu masih ada. Saya sendiri belum bersedia untuk kembali ke set penggambaran kerana ingin memberikan tumpuan terhadap keluarga. 

“Suami juga tiada halangan dan sentiasa memberi sokongan terhadap bidang lakonan yang saya ceburi,” katanya. 

Pemilik nama lengkap, Nur Anzalna Mohd. Nasir yang kini aktif dalam bidang perniagaan menjual tudung dan pakaian berkata, dia juga perlu menitikberatkan watak bersesuaian dengan imej dirinya yang sudah berhijab. 

“Saya sudah tidak boleh lagi berlakon macam dahulu, lebih-lebih lagi apabila sudah mempunyai anak. 

“Saya juga tidak boleh ambil episod yang panjang kerana sudah berkeluarga. Rindu hendak berlakon sebenarnya bila tengok televisyen dan lihat adik-beradik lain berlakon.

“Apapun saya tetap bersyukur kerana mungkin rezeki dalam bidang perniagaan pula,” katanya yang sentiasa berharap dirinya istiqamah dengan penampilan bertudung. 

Anzalna mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamad Hanif Zaki pada 2016 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Mohamad Eidress, 2, dan Mohamad Emirhan, 11 bulan.  

BANGGA DENGAN AYAH 

Anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim ini memberitahu dia bangga mempunyai seorang bapa yang begitu komited dengan kerja. 

Walaupun diasak daripada pelbagai penjuru ketika mahu melakukan banyak perubahan di agensi tersebut, Anzalna berkata, ayahnya tidak pernah serik atau mengaku kalah. 

Kongsinya, ayahnya adalah seorang individu yang sangat mementingkan keluarga dan sentiasa meminta pandangan daripada mereka anak-beranak.     

“Dia selalu tanya kami minta pendapat. Kami pula semuanya sudah dewasa dan kalau terbaca tentang ayah akan sentiasa bagi kata-kata semangat. 

“Kami faham dia bukan orang industri berbanding anak-anaknya yang memang sudah berada dalam industri serta tahu selok-belok bidang ini,” katanya. 

Anzalna berkata, ayahnya tidak pernah sesekali mengeluh dengan tugas sebagai CEO Finas, sebaliknya hanya memikirkan usaha terbaik untuk dilakukan sepanjang tempoh perkhidmatan. 

“Tak pernah keluar daripada mulut dia cakap penat, tertekan ataupun mengeluh. Dia perlukan sokongan keluarga dan kami semua perlu bersatu menyokongnya. 

“Saya bangga dengan ayah walaupun ada yang cuba hendak jatuhkan dia. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada sesiapa yang sentiasa menyokong dirinya,” katanya.    

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN