Anthony Loke mahu jumpa Azam, dapatkan laporan lanjut - Utusan Malaysia

Anthony Loke mahu jumpa Azam, dapatkan laporan lanjut

ANTHONY Loke ketika hadir pada Majlis Simpulan Kasih Malaysia Madani dan Perhimpunan Bulanan Tahun 2023 di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan laporan lanjut susulan pendedahan mengenai salah laku kakitangan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) yang tidak diendahkan.

Ini kerana beliau memandang serius berkenaan isu yang telah dibangkitkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi laporan media hari ini.

“Saya tiada maklumat (lanjut) kerana (isu) ini melalui laporan media, oleh sebab beliau ada menyebut berkenaan dengan agensi di bawah MOT, maka saya akan mengambil langkah proaktif, saya akan memohon janji temu dengan Ketua Pesuruhjaya bagi bertemu beliau untuk mendapatkan laporan lanjut.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan akan turut mengarahkan di peringkat kementerian melalui KSU (Ketua Setiausaha) dan ketua jabatan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya serta mengambil tindakan sekiranya apa-apa laporan yang telah diberikan itu mempunyai bukti dan asas yang kukuh.

“Kalau itu melibatkan tatatertib, disiplin dan sebagainya saya nak tahu senarai satu persatu, melibatkan pegawai mana dan kes apa, itu yang penting,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Simpulan Kasih Malaysia Madani dan Perhimpunan Bulanan MOT Tahun 2023 di sini hari ini.

Anthony Loke berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Azam ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun agensi itu mengesyorkan tindakan diambil.

Menurut Azam, daripada keseluruhan 553 laporan, laporan tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia iaitu sebanyak 125 laporan diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan.

Jelasnya, daripada laporan salah laku dengan ada sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu, ia masih belum diambil tindakan oleh ketua jabatan dan SPRM masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan berkenaan.

Anthony Loke berkata, beliau akan memastikan sesiapa sahaja di bawah MOT yang terlibat dengan mana-mana kes salah laku akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Katanya, pentadbiran baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil sikap untuk tidak berkompromi terhadap segala jenis salah laku dengan meletakkan integriti sebagai asas paling penting dalam kerajaan hari ini.

“Tetapi langkah pertama untuk berlaku adil kepada mana-mana pegawai (atau) kakitangan awam, saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa atau satu jabatan kerana tiada bukti.

“Saya nak bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM dan dapatkan maklumat lanjut supaya MOT (dapat) ambil tindakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya