Antara semangat dan kesungguhan Amylea - Utusan Malaysia

Antara semangat dan kesungguhan Amylea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAJAR klasifikasikan komposer, penyanyi dan penulis lirik, Amylea Azizan, 36, sebagai antara selebriti yang layak dicontohi. Ini kerana kesungguhan dan kerja keras yang dibuktikan selama hampir dua dekad dia berada dalam dunia seni tanah air akhirnya terbayar.

Perjalanan seni anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, yang bermula ketika dia menyertai Akademi Fantasia 3 (AF3), 18 tahun lalu menyimpan sejarahnya tersendiri. Namun, kegigihan dan keinginan yang tinggilah yang meletakkan Amylea pada kedudukannya sekarang.

Disebabkan itulah saya cukup faham, mengapa Amylea, dalam pertemuan kami baru-baru ini bersungguh-sungguh meluahkan rasa terkilan terhadap keadaan dunia seni tempatan hari ini yang dicemari golongan tertentu yang berkepentingan.

“Sebagai penggiat, saya mahu industri seni kita berkembang dengan kehadiran bakat-bakat yang bagus, bukan ranap dek kedangkalan ‘orang luar’ yang bukanlah penyanyi, tetapi tiba-tiba nak rakam dan jual lagu dengan cara mencipta kontroversi.

“Sebenarnya, ada yang mencadangkan saya ikut cara mereka, yang mencipta kontroversi agar nama menjadi popular sekaligus tarik orang untuk mendengar muzik saya. Saya menolak kerana tidak mahu hancurkan karier dan integriti.

“Kegilaan terhadap populariti yang meracuni industri seni kita hari ini membuat saya hampir berputus asa. Keadaan semakin menyesakkan dengan campur tangan bukan orang seni yang ‘mengkambing hitamkan’ industri ini untuk kepentingan mereka. Tindakan mereka ibarat racun yang menghancurkan,” luahnya.

Kata Amylea, dia mencintai industri seni dan tidak rela melihat ia dihancurkan. Justeru , dia berharap agar masyarakat membuka mata, mengalihkan perhatian dan sokongan mereka kepada penggiat seni sebenar berhempas pulas menjaga nama baik dunia seni tanah air.

“Orang anggap semangat saya kuat kerana mampu bertahan dalam dunia hiburan. Realitinya, saya penat bersaing dengan orang yang berlumba-lumba mencipta kontroversi.

“Disebabkan perkara ini, ruang untuk bakat-bakat yang bagus, yang sepatutnya diberi peluang untuk menonjol, menjadi semakin sempit.

“Saya yakin kita boleh hentikan budaya ini. Nila setitik sebenarnya tak merosakkan susu sebelanga, jangan benarkan ia merebak. Jangan beri perhatian kita kepada perosak industri waima menulis komen di media sosial mereka. Pilihan di tangan kita,” katanya lagi.

REZEKI BERLAKON

Mereka yang mengikuti perkembangan karier Amylea pastinya tidak menyangka, penyanyi ini akhirnya menjadi seorang pelakon.Ini kerana sejak tamat menyertai AF3 lagi, Amylea tetap dengan

ketegasannya untuk tidak menjadi pelakon dan hanya mahu dikenali sebagai seorang penyanyi semata-mata.

“Sebelum ini, saya merasakan saya tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi pelakon. Saya berpandangan tidak cukup cantik untuk itu. Minat pun tak adalah sebenarnya dan orang tahu muzik adalah segala-galanya bagi saya.

“Namun pandangan saya berubah selepas ditawarkan untuk melakonkan watak Nelissa dalam drama Dendam Seorang Isteri pada tahun lepas. Saya menemui keseronokan berlakon dan Alhamdulillah, rezeki dalam bidang tersebut terus ada untuk saya.

“Memang ramai terkejut apabila mendapat tahu saya menjadi pelakon dan saya juga bersyukur dengan kata-kata positif daripada netizen yang menyokong saya untuk teruskan penglibatan dalam bidang ini,” kongsinya.

Kata Amylea lagi, dia berharap satu hari nanti diberi peluang berlakon dalam filem atau drama kerana dia terlalu minat dengan genre tersebut.

“Mungkin watak wanita dirasuk dan sebagainya. Buat masa ini belum ada peluang lagi. Saya harap ia tercapai satu hari nanti,” jelasnya yang bakal muncul dalam filem arahan Aziz. M. Osman.

ROYALTI, WAJIB BAYAR

Penulis terpanggil untuk bertanyakan tentang isu bayaran royalti yang membelenggu sejumlah besar pencipta lagu di negara ini. Amylea mengakui dia tidak terkecuali, turut berdepan masalah sama bertahun-tahun lamanya.

“Ada bayaran (royalti) yang masih perlu saya tagih meskipun sudah berlalu berbelas tahun lamanya. Apabila syarikat penerbitan terbabit bertukar tangan, barulah saya terima bayaran, itupun tidak sepenuhnya.

“Penat mengemis, sampai saya buntu tak tahu apa lagi yang boleh saya lakukan. Saya cuma nak dapatkan hak saya. Tapi, apakan daya, saya umpama bilis, yang berharap mereka yang lebih berpengaruh bersuara tentang perkara ini,” ujarnya.

Kongsi Amylea, disebabkan pengalaman yang sama, dia cukup faham dan merasai kekecewaan yang dihadapi pencipta lagu apabila hak mereka ditidakkan.

“Masyarakat kena sedar, lagu adalah harta intelek yang dihasilkan dengan pengorbanan wang ringgit, tenaga. Dalam dunia tiada benda percuma, termasuklah royalti yang tetap wajib bayar.

“Satu lagu menelan kos berbelas ribu untuk dihasilkan. Itu dari segi wang ringgit, belum lagi tenaga dan ‘perahan’ minda. Sebab itu, pencipta lagu atau kandungan merasa teraniaya apabila bayaran royalti didiamkan,” katanya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya