SHAH ALAM: Pelakon, Farid Kamil memberitahu anak sulungnya, Muhammad, tidak sabar untuk menonton filem lakonannya Anwar: The Untold Story di pawagam.
Farid Kamil Zahari, 42, berkata, sebelum filem itu ditayangkan di panggung, anak sulungnya itu berkali-kali bertanya mengenai filemnya yang memegang watak sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu, Farid harus akur dengan prosedur yang ditetapkan mahkamah untuk menulis surat lima hari sebelum bertemu anaknya.
“Muhammad beria tanya, bila filem ini akan ditayangkan. Tapi seperti yang semua sedia maklum, untuk bawa anak-anak saya ke pawagam, saya kena buat surat.
“Setakat ini, peguam saya dah hantar surat untuk itu dan kalau ada rezeki, saya akan pastikan Muhammad dapat menonton filem itu,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, sebentar tadi.
Farid berpeluang meluangkan masa dengan anaknya, Aurora dan Muhammad sebanyak enam kali sejak kes dibicarakan.
“Saya dapat berjumpa Aurora sebanyak dua kali dan Muhammad sebanyak empat kali. Setakat ini, saya dapat luangkan masa selama empat hari. Itu pun selepas yang diberitakan mengenai isu anak trauma,” katanya.
Anwar: The Untold Story merupakan sebuah filem biopik memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa zaman reformasi 1998.
Turut sama menjayakan filem tersebut ialah Hasnul Rahmat dan Acha Septriasa.