MARANG: Seekor anak penyu karah jantan ditemukan mati terapung di perairan Pulau Kapas di sini, kira-kira pukul 1.40 petang, semalam.
Sukarelawan Persatuan Pemuliharaan Penyu Pulau Kapas, Fildani Noor berkata, penyu tersebut dipercayai baru sahaja mati kerana bangkainya masih elok dan belum mereput.
Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap bangkai itu mendapati lehernya membengkak dan bahagian karapasnya pula hilang.
“Kami sangat sedih dengan kematian anak penyu karah tersebut kerana spesies ini jarang-jarang dapat ditemukan di perairan Pulau Kapas.
“Kali terakhir sukarelawan kami terserempak dengan spesies penyu karah ialah pada awal tahun ini dan sebelum itu pada tahun 2019.
“Kami sangat risau sekiranya bangkai ini adalah penyu yang sama kami jumpa ketika aktiviti snorkeling dilakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.
Ketika ini, hanya penyu agar sering ditemukan di perairan Terengganu manakala spesies lain seperti penyu karah dan penyu lipas sudah jarang ditemukan sejak kebelakangan ini.
Penyu Belimbing yang menjadi ikon negeri Terengganu pula merekodkan pendaratan terakhir pada tahun 2017 dan tiada mana-mana pihak yang melihat kehadirannya di perairan Terengganu selepas itu.
Tambah Fildani, pihaknya telah melaporkan penemuan bangkai anak penyu Karah itu kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan terperinci.
“Bangkai itu pula telah kami lupuskan dengan menanamnya di Pantai Panjang, Pulau Kapas semalam,” katanya. – UTUSAN