DUNGUN: Seekor anak buaya sepanjang lebih satu meter yang dipercayai tersesat di dalam longkang di Kampung Felda Kerteh 1, dekat sini, semalam.
Buaya yang dipercayai tersesat dari sungai berhampiran disedari seorang penduduk yang kemudiannya menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pegawai APM Daerah Kapten (PA) Ahmad Kamal Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.30 petang sebelum menggerakkan empat orang anggota bagi operasi menangkap haiwan liar tersebut.
“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap anak buaya tersebut dengan menggunakan jerut dan alatan khas.
“Kita percaya reptilia tersebut tersesat dari kawasan sungai dan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ahmad Kamal berkata, pihaknya telah menyerahkan anak buaya tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN