MELAKA: Masyarakat perlu berganding bahu memperkasakan kempen dan program kesedaran berkaitan amalan kitar semula serta pengasingan sisa sebagai usaha mengatasi masalah pencemaran akibat janaan sampah yang semakin meningkat.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kesedaran masyarakat amat penting untuk mengurangkan janaan sisa kerana Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini, mencatat pertambahan saban tahun.
Menurutnya, seandainya tiada usaha dan kesedaran mengurangkan janaan sisa, tapak pelupusan berkenaan tidak lagi mampu menampung peningkatan tersebut.
“Bagi saya kesedaran masyarakat adalah elemen paling penting untuk membantu mempergiatkan aktiviti kitar semula membabitkan semua pihak.
“Sejak program kitar semula dilancarkan pada 2018, hampir 140,000 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya diselamatkan daripada dibawa ke tapak pelupusan sampah di Sungai Udang.

“Saya yakin bahawa jumlah kutipan kitar semula di negeri ini akan terus meningkat sekiranya semua pihak berganding bahu bersama-sama menjayakan KITARecycle,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Rais, beliau berharap Hab Pusat Pandu Lalu KITARecycle dapat dibuka di seluruh Parlimen di Melaka tidak lama lagi.
“Perkara ini adalah seiring dengan hasrat Melaka menjadi sebuah negeri lestari menjelang 2035 di bawah lima Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035,” ujarnya. – UTUSAN