KUALA LUMPUR : Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa masyarakat supaya menekankan aspek kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat dalam usaha membasmi penyakit terutama berkaitan jantung.
Menurutnya, penyakit jantung adalah penyumbang terbesar kematian di seluruh dunia manakala di Malaysia, dianggarkan 5,000 bayi yang dilahirkan dengan penyakit jantung berlubang dan kongenital memerlukan rawatan pembedahan dengan kepakaran kompleks.
“Kalau ada penyakit-penyakit yang kita boleh basmikan, kita cuba atasi. Contohnya Rubela, walaupun Rubela sudah tiada, kesannya ada.
“Macam penyakit jantung, walaupun kajian berterusan dilakukan untuk tujuan rawatan, tetapi kesedaran kendiri juga penting khususnya untuk mengelak ia berlaku pada golongan bayi dan kanak-kanak. Sebab itulah saya selalu tekankan aspek kesihatan dalam amalan gaya hidup.
“Bagaimanapun kita boleh menjaga kesihatan dengan baik jika kita dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) Program MyHeart Siri ke-5 dan kempen Kesihatan Prihatin di Institut Jantung Negara (IJN), di ibu negara, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan dan Pengerusi IJN Foundation, Toh Puan Dr. Aishah Ong.
Selain itu, Wan Azizah turut memuji usahasama yang terjalin antara MyPrihatin dan IJN yang telah mencatatkan pelbagai kejayaan menerusi program-program dilaksanakan.
“Meskipun MyPrihatin baru lapan tahun ditubuhkan, banyak kerja kemasyarakatan telah dilaksanakan dengan cemerlang. Anak-anak muda dalam pasukan MyPrihatin ternyata mempunya idea-idea kreatif dan tidak stereotaip dalam membantu golongan memerlukan.
“MyPrihatin juga terlibat secara aktif dalam aktiviti keusahawanan sosial, yang membantu kumpulan wanita, ibu tunggal dan suri rumah yang kurang berkemampuan. Mereka dapat menjana pendapatan tambahan seperti yang dilakukan di Permatang Pauh, Shah Alam dan Bandar Tun Razak,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Azizah berharap agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Prihatin membantu mereka yang memerlukan terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang sangat mencabar.
“Tetapi, cara bantuan itu tak boleh diberikan secara langsung. Perlu ada idea yang kreatif untuk memastilan hasil bantuan itu tidak digunakan secara ‘one off’sahaja.
“Kita mahu bantuan itu dimanfaatkan secara berpanjangan. Saya juga menyeru kepada badan korporat untuk bersama-sama berusaha membantu golongan memerlukan ini,” katanya. – UTUSAN