KUALA LUMPUR: Penyanyi, Alin Sidek menafikan suaminya sebelum ini menghalang dia membuat persembahan secara live di atas pentas.
Kata penyanyi lagu Cinta Sejati itu, suami tidak pernah mengekang, malah sentiasa menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat untuk karier seninya.
“Saya tidak pernah menyanyi live atas pentas kerana saya pemalu dan tidak yakin. Saya tak biasa dengan spotlight.
“Tambahan pula saya memang takut naik pentas.
“Itu adalah keputusan saya, bukan suami. Alhamdulillah dia tidak pernah halang, malah sentiasa memberi sokongan,” katanya usai majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.
Alin pada majlis tersebut, pertama kali membuat persembahan secara live menyampaikan lagu Cinta Sejati yang dinyanyikan secara duet bersama abangnya, Aiman Sidek.
Disoal sama ada dia akan terus muncul membuat persembahan di atas pentas selepas ini, Alin memaklumkan perkara tersebut bergantung kepada kesediaannya ke arah itu.
“Sebelum ini saya memang tolak untuk membuat persembahan . Tapi untuk yang akan datang kita tengok macam mana.
“Mungkin saya kena belajar lagi untuk siapkan diri dan mental sebab saya memang tak biasa menyanyi depan orang ramai,” jelasnya.