PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan komuniti perniagaan di negara ini beralih kepada penggunaan alat penimbang elektronik secara berperingkat dalam tempoh setahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ketika ini, hanya 25 peratus alat timbang elektronik digunakan di seluruh negara, manakala bakinya masih menggunakan alat timbang dan sukat yang lama.
Beliau berkata, peralihan kepada alat timbang digital itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan sesi libat urus bersama pemain industri dan pihak berwajib.
“Pelaksanaan penggunaan penimbang baharu itu akan dipertimbangkan dari segi kecukupan bekalan serta harga untuk peralatan tersebut.
“Tempoh yang diberikan itu juga memberi masa kepada peniaga melakukan peralihan penggunaan alat timbang di premis masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Metrologi Sedunia, hari ini.
Katanya, KPDN juga meneliti dan melantik beberapa syarikat berlesan yang akan membekalkan alat penimbang elektronik berkenaan.
Salahuddin berkata, peralihan kepada alat timbang elektonik ini penting kerana kadar ketetapannya tidak boleh dipertikaikan berbanding alat timbang yang lama.
Terdahulu, Salahuddin turut menyaksikan majlis pengikrafan Malaysia Books of Records (MBOR) kepada De Metrologi Sdn Bhd (DMSB) di atas pencapaian rekod jumlah verifikasi alat timbang dan sukat paling banyak dalam tempoh sehari.
DMSB mencipta rekod berkenaan pada 16 Mei lalu dengan jumlah 3,197. – UTUSAN