KANGAR: Keunikan mempelam harumanis yang hanya terdapat di negeri ini telah mendorong sebuah syarikat menghasilkan inovasi produk makanan berasaskan buah ikonik tersebut.
Bagi menyediakan pelbagai pilihan produk berasaskan harumanis ini, Athanliz Innovations Sdn Bhd (AISB) yang merupakan syarikat pemula dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengorak langkah secara aktif dalam melaksanakan pembangunan dan penyelidikan (R&D) sejak tiga tahun lalu.
Dengan memasuki pasaran bermula dua minggu lepas, syarikat berkenaan telah mengeluarkan beberapa produk makanan unik berasaskan mangga harumanis antaranya seperti aiskrim, kek lapis, sambal ikan bilis, pau, coklat putih dan pelbagai lagi.
Pengarah Urusan AISB, Dr. Athifah Najwani Shahidan berkata, pihaknya memilih menghasilkan produk makanan berasaskan mangga harumanis berikutan buah itu adalah sangat istimewa dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.
“Walaupun produk makanan berasaskan mangga harumanis ini baharu sahaja memasuki pasaran bermula dua minggu lalu namun sambutan yang diterima daripada penggemar buah ini amat memberangsangkan.
“Melalui pemasaran ini, kita cuba memberi lebih pilihan kepada pengguna untuk menikmati buah ini dengan penghasilan beberapa produk-produk berkenaan bagi membolehkan mereka merasai kelainannya,” katanya ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad.
Mengulas lanjut, Athifah berkata, buat masa ini, produk-produk makanan yang dihasilkan berasaskan harumanis itu dipasarkan di Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang di sini.
Menurut Athifah, harga yang ditawarkan bagi produk-produk makanan itu juga adalah berpatutan iaitu bermula dari RM5 sehingga RM35.
“Kita juga sememangnya sedang mencari ejen-ejen yang berminat bagi memasarkan produk-produk ini dalam usaha untuk mengkomersialkan kepada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Athifah berkata, syarikat berkenaan juga sebelum ini pernah tampil dengan menghasilkan produk kecantikan berasaskan buah mempelam harumanis yang dikenali sebagai Lindifera.
Katanya, sehingga kini, rangkaian produk Lindifera juga berjaya memasuki pasaran runcit Aeon Retail Malaysia di tujuh cawangan sekitar Malaysia.
“Kini kami juga dalam penghasilkan produk mee sedia untuk dimakan yang turut dihasilkan dengan berasaskan mangga harumanis dan bakal dipasarkan kepada orang ramai,” katanya.-UTUSAN