ARAU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai tidak sedar diri meskipun semua calon parti itu telah hilang deposit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pemimpin Pejuang itu masih tidak serik dengan mengeluarkan kenyataan untuk tidak ingin menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan yang turut disertai parti dalam kerajaan termasuk UMNO.
Menurut Ahmad Zahid, mana-mana pemimpin atau parti tidak seharusnya mendabik dada bagi menterjemahkan agenda Islam dan Melayu dalam meraih sokongan rakyat.
“Saya ingin respon kepada kenyataan seorang pemimpin yang mengetuai sebuah parti yang hilang deposit dalam PRU15 lalu agar jangan bodoh sombong dengan kenyataan dikeluarkan untuk tidak kerjasama dengan parti-parti dalam kerajaan termasuk UMNO.
“Saya ucapkan selamat berjaya pada parti itu, mudah-mudahan mereka terus hilang deposit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Negeri Perlis di Dewan Sivik di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa parti itu membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan gabungan yang turut disertai UMNO dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.
Mukhriz dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat berikutan UMNO telah terpalit dalam amalan kleptokrasi yang jelas dan tidak selari dengan prinsip perjuangan parti Pejuang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin parti terlibat agar menyelesaikan masalah dalaman mereka terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan UMNO dan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Mereka harus sedar bahawa gabungan parti pembangkang juga menolak untuk kerjasama dengan mereka (Pejuang),” katanya.
Di samping itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan bersifat majmuk, namun agenda Islam dan Melayu tidak pernah dilupakan tanpa mengenepikan agama atau bangsa lain.
Beliau berkata, perkara itu juga termaktub di dalam perlembagaan UMNO di mana parti itu menjadikan agama Islam sebagai objektif utama penubuhannya tanpa mengenepikan mana-mana agama lain.
“Kita berada dalam sifat kemajmukan di mana negara ini terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum, maka kita kena hormati asas itu,” kata Timbalan Perdana Menteri itu.-UTUSAN